Khamis, 21 Jun 2012

Khairy sokong Perancis, sindir Najib?


Oleh Mohd Rashidi Hassan


Budak ini memang selamba. Hendak kata cerdik pun tidak seberapa. Hendak kata tidak pandai berpolitik pun, mungkin juga. Tetapi selalu sahaja terkeluar rel. Wrong person at wrong timing and wrong place.

Inilah masalahnya dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang juga Ahli Parlimen Rembau

Cita-citanya amat besar. Suatu ketika dahulu dicetuskan rumours, beliau digilap politiknya oleh kumpulan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Namun, beliau bernasib malang apabila pada Pilihan Raya Umum 2008, parti dan kerajaan yang diterajui bapa mertuanya, hampir tumbang dipukul badai tsunami Pakatan Rakyat. Dengan perletakan jawatan Abdullah sebagai PM, selepas setahun digelodak orang Umno, nasib Khairy dalam politik turut malap.

Khairy orang muda. Jiwanya, jiwa muda. Banyak gambar pelbagai aksi beliau boleh diperolehi dalam internet. Dari duduk santai minum-minum di kelab, berpakaian ala wanita, berjoget di Perhimpunan Belia, macam-macam ada.

Khairy juga minat sukan bolasepak. Beliau adalah Timbalan Presiden FAM. Tetapi, kalau pun peminat bolasepak, harus juga peka sensitiviti orang lain. Khairy ahli politik, tetapi selalunya politik 'makan diri'.

Khairy berhimpun dan berdialog dengan geng twitternya di KLCC, 15 Jun lepas. Beliau memakai jersi pasukan bolasepak Perancis. Kononnya hendak sehati sejiwa dengan anak muda, tetapi tanpa beliau sedari, beliau melakukan suatu tindakan yang amat-amat sensitif, pada pandangan ketuanya, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Dalam menjalankan tugas sebagai PM, ada banyak negara Najib suka pergi. Tetapi beliau cukup tidak berkenan dengan negara Perancis, buat masa ini.

Isunya ialah apabila namanya disabitkan oleh mahkamah Perancis, sebagai orang yang harus disoalsiasat sebagai saksi dalam kes penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene.

Perancis tidak mendakwa Najib terbabit dalam penyelewengan atau rasuah. Perancis juga tidak mendakwa Najib terbabit membunuh Altantuya. Tiada siapa pun yang menuduh Najib terbabit membunuh Altantuya. Orang seperti pencacai Zulkifli Noordin yang memfitnah dan berbohong siang malam, menuduh Dato' Seri Anwar Ibrahim mengatakan Najib membunuh Altantuya.

Semasa Zulkifli belum melompat, beliaulah yang menjaja dan memaki hamun Najib serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, di merata ceramah dan kuliah. Dia yang mula-mula menuduh Najib dan Rosmah, sebaliknya selepas membuat pusingan u-turn, beliau mendakwa orang lain yang menuduh Najib. Manusia yang sejahat ini harus dihapuskan daripada politik Malaysia, biar dia balik Baling tanam pokok getah lagi baik.

Isu Scorpene yang mula dibicarakan di mahkamah Perancis inilah yang menggusarkan Najib. Ia akan mengaitkannya dengan bekas kroni kanannya, Abdul Razak Baginda. Perbicaraan Scorpene akan membongkar penyelewengan urusniaga pembelian kapal selam untuk angkatan tentera Malaysia, akan mengheret Najib dan orang rapatnya Razak baginda ke Mahkamah negara itu.

Dilaporkan terdapat berita terbaru mengatakan, saksi pertama kes skandal penyelewengan kapal selam Scorpene akan hadir ke mahkamah Perancis kerana sapina terhadapnya, telah dikeluarkan oleh Mahkamah negara itu.

Bulan Julai ini, Razak Baginda dijangka juga akan dipanggil memberi keterangan dalam kes melibatkan salah urus niaga itu. Selepas itu, dikhabarkan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Najib pula akan dipanggil.

Dari sudut undang-undang, mahkamah Perancis berhak mengeluarkan sapina kepada Najib dan Zahid. Dan jika kedua-duanya ingkar dan enggan  mematuhi sapina yang dikeluarkan, maka waran tangkap boleh dikeluarkan.

Perancis adalah sebuah negara yang mengikat perjanjian dengan Kesatuan Eropah. Persoalannya, jika waran tangkap dikeluarkan, apakah ianya meliputi negara Perancis sahaja, atau seluas tanah jajahan Eropah?

Maksudnya, apakah keengganan Najib dan Zahid mematuhi sapina yang dikeluarkan akan memberi implikasi, bahawa mereka boleh ditangkap di mana-mana negara Eropah?

Mungkin tidak perlu kita selami lebih jauh apakah implikasi perbicaraan Scorpene kepada Najib dan masa depan politik Umno-BN.

Cukup untuk kita andaikan, kemungkinan jika kes tersebut dibongkar, ianya akan menyebabkan PM berada dalam keadaan yang amat tidak selesa. Media tempatan boleh ditutup, tetapi laporan media antarabangsa yang boleh dilayari menerusi internet, bagaimana BN hendak sekat.

Kembali kepada soal jersi Perancis yang dipakai Khairy tadi. Jelas beliau tidak peka dengan sensitiviti Najib. Dalam keadaan sekarang perkataan Perancis pun dia tak berapa sudi hendak dengar atau mungkin juga jika perkataan itu terdengar, PM akan pening kepala.

Tapi Khairy dengan selambanya, dengan suka-suka hati memperli Najib dalam satu pertemuan antara ketua pemuda itu dengan pengikut twitter beliau. Khairy memakai baju jersi negara Perancis yang mengambil bahagian dalam pertandingan bolasepak Euro 2012 yang berlangsung sekarang.

Buat masa ini kalau minat bolasepak pun, tak payahlah sokong Perancis. Sokonglah Sepanyol ke, Portugal ke, England pun tidak mengapa.

Ada orang Umno bertanya, apa maksud yang Khairy mahu sampaikan? Mengapa dalam ketakutan orang Umno terhadap isu Scorpene yang sedang dibicarakan di Perancis, Khairy terang-terangan memakai jersi Perancis?

Atau pun mungkin Khairy ada maksud yang tersirat hendak memperli Najib. Apakah Khairy masih berdendam dengan juak-juak Najib yang menjatuhkan bapa mertuanya dari jawatan PM dan Presiden Umno, atau masih bengang kerana Najib tidak melantiknya ke jawatan kabinet, sedangkan beliau Ketua Pemuda?

Khairy ada menyebutkan bahawa beliau baru menjalankan 50 peratus tugas sebagai Ketua Pemuda. Beliau meminta diberikan jawatan itu sepenggal lagi. Tetapi Khairy bakal melalui laluan sukar kerana beliau tidak dikehendaki kedua-dua kumpulan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kumpulan Najib memang tidak berminat dengan Khairy. Manakala Muhyiddin yang bercita-cita besar untuk menggantikan Najib, terpaksa bersandar dengan sokongan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Semua orang Umno tahu Dr Mahathir dan Khairy berseteru.

Dengan situasi yang ada sekarang, Khairy memang tiada peluang lagi. Bukan sahaja jawatan Ketua Pemuda, jawatan Ahli Parlimen Rembau pun khabarnya sudah hampir pasti dicantas.

Khairy harus sedar bahawa iklim politik sekarang ini, tidak memihak kepada Umno-BN. Oleh kerana itu, tidak perlulah beliau merayu Umno mengekalkan beliau sebagai Ketua Pemuda atau MP sepenggal lagi, kerana belum tentu selepas PRU ke-13 nanti Umno wujud lagi.

Tiada ulasan: