Selasa, 19 Jun 2012

Pengundi atas pagar bukan kelebihan

Wartawan Sinar Harian

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
 
SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat faktor pengundi atas pagar kini bukannya merupakan satu kelebihan bagi Pas dan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya menjadi satu cabaran besar terutama bagi Kerajaan Negeri Selangor.

Ini disebabkan golongan yang akan menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, kini lebih rasional dan akan memilih calon dengan lebih berhati-hati.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, pengundi atas pagar akan mengundi berdasarkan isu semasa dan hal ini akan memberi cabaran besar buat Pakatan Rakyat (PR).

“Pengundi atas pagar mulai sedar dan ini akan menyulitkan Pas terutama dalam isu tawaran Negara Berkebajikan dan gabungan dalam pakatan yang longgor khususnya dengan DAP.

“Sekiranya situasi ini mampu menyedarkan masyarakat Melayu ia akan menyukarkan Pas untuk mempertahankan kawasan sedia ada dan meningkatkan undi di kawasan yang kalah, sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau turut menjangkakan pengundi tegar akan lebih berhati- hati memilih kerajaan dan tidak akan membuat undi protes seperti yang berlaku pada PRU12, pada Mac 2008 lalu.

“Tsunami yang berlaku 2008 lalu adalah disebabkan undi protes, namun saya berpendapat kini mereka lebih rasional dan akan memilih kerajaan stabil dan bijak mentadbir,” katanya.

Menurutnya, pilihan raya kali ini memang sengit khususnya di kawasan bandar kerana wujud kebangkitan Umno yang pastinya memberikan cabaran besar, kepada Pas dan PR.

“Gelombang merah di Selangor bergerak cergas sekali gus memberi pukulan terhadap Pas, kerana Umno juga telah bersedia menawan kembali negeri ini.

“Berdasarkan kajian politik semasa, Barisan Nasional (BN) telah mengalami perubahan dan sekali gus membawa peningkatan sokongan terhadap Kerajaan Pusat,” katanya.

Katanya, antara cabaran Pas dalam saingan PRU13 nanti termasuk faktor isu-isu berbangkit seperti krisis air, kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri dan isu kutipan sampah serta penangguhan haji yang dilihat perkara ini tidak memihak kepada PR.

Sementara itu, Samsul turut menjangkakan PR akan mengekalkan calon yang menang pada Pilihan Raya Umum 2008 dan akan memilih calon baru berasaskan populariti semasa.

Tiada ulasan: