Isnin, 18 Jun 2012

Pendakwaan boleh dibuat tanpa pindaan Akta Keterangan'

Nigel Aw


 
Pendakwaan ke atas seorang jurutera bulan ini, atas dakwaan menghina Sultan Perak melalui komen dalam talian merupakan bukti bahawa pendakwaan boleh dijalankan tanpa menggunakan Seksyen 114(a) Akta Keterangan 2012.

"Ia telah dilakukan sebelum ini, sebagai contoh kes hasutan melibatkan Sultan Perak," kata peguam hak asasi manusia Edmund Bon ketika dihubungi hari ini.

Mahkamah Sesyen Butterworth pada 1 Jun menjatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM50,000 ke atas Chan Hon Keong, yang mendapat penangguhan untuk mengemukakan rayuan.

Bon berkata pendakwaan juga boleh menentukan sumber sesuatu tulisan, seperti dalam kes hasutan yang dihadapi ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei.

Bon yang juga merupakan aktivis Pusat Rakyat Loyar Burok berkata, pihak pendakwaan dan polis perlu berusaha lebih keras dalam siasatan dan bukannya mengambil jalan mudah.

"Persoalannya bukan soal memindahkan beban pembuktian, tetapi untuk meningkat profesionalisme penguatkuasa undang-undang," katanya.

Dalam pindaan yang diluluskan Dewan Negara bulan lalu, yang masih belum digazet, pendakwaan tidak lagi perlu membuktikan bahawa sesuatu tulisan di dalam talian berpunca dari seorang pengguna tertentu.

Sebaliknya, pemilik sesuatu alat atau rangkaian yang menerbitkan sesuatu tulisan itu dianggap secara automatik dianggap bertanggungjawab ke atas penerbitan berkenaan, melainkan individu berkenaan dapat membuktikan sebaliknya.

Sekiranya penerbitan tulisan tersebut turut disertakan gambar, nama samaran atau nama seseorang, individu itu juga dianggap bertanggungjawab, melainkan dibuktikan sebaliknya.

Tiada ulasan: