Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata semua pihak boleh menghalakan aduan salah laku anggota penguatkuasaan kepada suruhanjaya itu, yang ditubuhkan pada 1 April tahun lepas.
"Apa sahaja aduan akan disiasat rapi, tindakan akan dilakukan terhadap penguatkuasa, tidak kira siapa jika terbukti ada salah laku," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh).
Pada 25 Mac 2008, perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan draf rang undang-undang bagi mewujudkan IPMC sudah disiapkan dan dirancang untuk dibawa ke kabinet sebelum dibentangkan ke Parlimen, namun ditangguhkan selepas parlimen dibubar untuk memberi laluan kepada pilihan raya pada tahun itu.
Anwar bertanya adakah kerajaan bercadang menubuhkan IPCMC dan suruhanjaya lebih bebas bagi meningkatkan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama melibatkan siasatan terhadap dakwaan salah laku anggota pasukan itu pada perhimpunan Bersih 3.0.
Menjawab soalan asal Anwar mengenai tindakan terhadap anggota polis yang bertindak kasar kepada wartawan serta orang awam ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu, Mohamed Nazri berkata hasil penelitian rakaman video dan siasatan dijalankan, dua anggota polis telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan terhadap seorang jurugambar Guanming Daily pada perhimpunan Bersih 3.0.
Menjawab soalan tambahan lain oleh Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang bertanya apakah tindakan kerajaan terhadap mereka yang terlibat dalam Bersih 3.0, Nazri berkata pejabat Peguam Negara memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
"Kami tidak mengira warna, tak kira sesiapa yang langgar undang-undang...ada bukti kukuh kita akan bawa Permatang Pauh (Anwar) dan Gombak (anggota Parlimen Gombak Azmin Ali) ke mahkamah," katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata sehingga bulan lepas Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiapkan 17,790 Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara.
"SPNB berjaya menyiapkan 474 unit RMR di Sarawak (dalam tempoh sama) dan sedang membina 110 unit lagi," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang bertanya bilangan RMR yang dibina seluruh negara, terutama di Sarawak.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan