Oleh AZIZ MUDA
SIKAP kerajaan BN yang terus mengongkong kebebasan media di negara ini sehingga memaksa media arus perdana hanya menyiarkan berita-berita yang menyebelahi BN, berita-berita palsu, fitnah dan caci maki terhadap pihak pembangkang ternyata amat memalukan para wartawan di negara ini.
Dengan penyiaran beritaberita seperti itu akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada para wartawan yang bertugas di media-media terbabit, selaras dengan kehilangan kepercayaan mereka terhadap media-media itu sendiri.
Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan berkata, padahal para wartawan yang bertugas sememangnya telah mengikuti etika kewartawan sepanjang menjalankan tugas mereka, tetapi imej mereka jelas tercemar disebabkan sikap para pemimpin Kerajaan BN yang memaksa pihak media hanya menyiarkan berita-berita yang memihak kepada mereka.
Menurut beliau, disebabkan tindakan itu, tidak hairanlah jika semakin ramai orang yang enggan menonton media arus perdana kerana akses media yang sebenar boleh didapati oleh mereka menerusi internet dan media baru.
Katanya, keadaan itu ternyata berbeza berbanding 15 atau 20 tahun lalu sehingga rakyat hanya akan mendapat maklumat daripada media arus perdana atau media tradisional sematamata, berbanding sekarang yang semakin maju dari segi komunikasi selaras dengan perkembangan internet.
“Jadi dengan apa yang berlaku itu menunjukkan perbandingan kebebasan media antara negara kita dengan negara luar yang mengamalkan demokrasi termasuk di London amat ketara,” katanya ketika dihubungi Harakah 14 Jun lalu.
Dalam industri media, menurut Anbalagan, keadilan nasional dari segi penyiaran berita merupakan satu perkara yang amat penting bagi membolehkan rakyat turut mendengar pandangan alternatif, bukan hanya pandangan sebelah pihak daripada kerajaan semata-mata.
“Tetapi ini tak berlaku di negara kita. Berita-berita dan cerita-cerita yang disiarkan hanyalah berat sebelah, tak ikut prinsip kewartawanan. Di negara lain tak begitu. Di negara lain turut juga diberikan ruang penyiaran pandangan alter natif.
“Dengan apa yang berlaku ini, orang ramai perlu faham.
Ini semua bukan berlaku atas kehendak wartawan, tetapi atas kehendak pemimpin kerajaan di media arus perdana yang dimiliki oleh kerajaan termasuk tv dan radio, manakala di media arus perdana swasta pula turut berlaku atas kehendak pemilik dan editor media itu,” katanya.
Beliau turut kesal dengan cadangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Dr Rais Yatim untuk memberikan ruang masa hanya 30 minit kepada pemimpin pembangkang berucap di media arus perdana sempena pelancaran manifesto pilihan raya masing-masing nanti.
“Padahal pihak kerajaan tak boleh buat garis panduan seperti itu. Pihak kerajaan juga adalah parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya nanti. Kedudukannya adalah sama seperti parti-parti lain yang turut bertanding. Mana boleh Umno dan BN pula yang buat garis panduan seperti itu? Jadi ini adalah sesuatu yang dangkal,” tegasnya.
Sebarang garis panduan mengenai penyiaran bahan-bahan oleh media dan pembahagian masa penyiaran untuk parti-parti yang bertanding, katanya, hanya layak dibuat oleh suruhanjaya bebas yang perlu ditubuhkan oleh kerajaan, bukannya oleh pihak kerajaan yang turut terikat dengan parti.
“Hanya suruhanjaya bebas sahaja yang berhak membuat garis panduan untuk penyiaran bahanbahan oleh media arus perdana kerana hanya suruhanjaya itu yang akan melaksanakan tugasnya dengan betul, dengan melakukan keadilan bagi semua pihak, termasuk ruang yang secukupnya bagi penyiaran pandangan rakyat dan pandangan alternatif,” ujar Anbalagan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan