Jumaat, 15 Jun 2012

Kongres bincang cadangan siswa tanding PRU



 
Zulaikha Zulkifli 
 
 
Kumpulan pelajar pro-Mahasiswa, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhasrat untuk meletakkan calon bagi bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

NONEPengerusinya, Muhammad Safwan Anang bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan diputuskan di dalam Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 4 (KGMN 4) yang akan diadakan pada 23 Jun nanti.

"Di dalam kongres ini kita juga akan ada perbincangan kemungkinan mahasiswa letak calon bertanding pada pilihan raya akan datang. Tapi kita perlu dengar daripada kumpulan yang lain juga. Apa pandangan mereka.

" Masih belum terlambat rasanya untuk hasilkan keputusan yang tepat bersama... kami rasa, ini adalah masa yang sesuai untuk berbincang sebelum tarikh pilihan raya yang masih jadi teka-teki kerajaan," katanya pada sidang media di Kelab 50B hari ini.

Kongres yang diadakan di auditorium tertutup Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu juga akan turut mengadakan pentas pidato pada sebelah malamnya yang akan menampilkan pimpinan daripada Pakatan Rakyat dan Umno.

Safwan berkata, pentas pidato antara mahasiswa dan pimpinan parti itu adalah acara kemuncak bagi memberi peluang masyarakat mendengar hasrat mahasiswa.

"Pagi dan petang adalah terhad untuk persidangan. Malamnya kita sasarkan pada orang awam," katanya.

Pemimpin yang diundang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengarah penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Tiada ulasan: