Sementara bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa, cedera di bahagian bahu dan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 9 malam apabila mangsa, Mohd Faris Faisal Hisham menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya iaitu seorang anggota polis di bawah meja.
"Mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan telah melepaskan tembakan dan salah sebutir peluru menembusi dahinya.
"Mohd Faris meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh," kata beliau kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.
Mohd Faris yang baru sahaja menyambut hari lahirnya dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di sebuah negeri lain selepas selesai majlis kenduri ibu saudaranya di sini.
"Kerana menyangkakan pistol itu barang mainan, kanak-kanak itu dipercayai tertembak dengan peluru pistol itu menembusi dahinya sebelum mengenai dada bapa saudaranya," kata beliau.
Jalaluddin berkata, sewaktu kejadian, anggota polis itu sedang menunaikan solat Isyak dan senjata api berkenaan disorokkan dalam laci sebuah meja, namun ditemui mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan.
"Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian kerana tertembak," katanya lagi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Mangsa diklasifikasikan maut mengejut.
Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai kes terpencil berkata, anggota polis itu akan disiasat dan tindakan susulan akan diambil.
Jenazah Mohd Faris, anak sulung daripada dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang ini selepas selesai bedah siasat itu dilakukan.
Dalam pada itu, Benama memetik ibu Mohd Faris, Fadhilah Rifa'in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya.
Katanya, pada masa sama dia sempat menyambut hari lahir anaknya itu secara kecil-kecilan dan sebelum kejadian dia berada di luar rumah untuk mengemas meja dan kerusi sementara menunggu pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan itu.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya tidak tahu apa yang berlaku. Sebaik saya masuk ke dalam rumah, saya lihat anak saya terkulai di atas lantai.
"Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada," katanya dan menambah anaknya itu dibawa ke klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam rumah dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan kaku.
"Ketika itu, ramai ahli keluarga yang melihat keadaan menantu saya (Helmi) kerana cucu saya diam saja.
"Saya segera melihat cucu saya dan mengangkatnya ke dalam lori pembekal khemah yang baru tiba untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, ibu saudara Mohd Faris, Nor Ain Farhana Yasin, 15, yang berada di dalam rumah berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mendengar bunyi satu das tembakan dilepaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan