Khamis, 14 Jun 2012

Jeffrey tanding kerusi Parlimen Keningau

SINAR HARIAN

KOTA KINABALU - Pengerusi The State Reform Party (STAR) Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah menyatakan hasratnya bertanding di kerusi Parlimen Keningau dalam pilihan raya umum akan datang.
  
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk bertanding sekali lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.
  
"Saya akan bertanding di Keningau. Saya berharap beliau (abangnya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) tidak akan merebut kerusi itu lagi. Beliau sudah berkhidmat bagi kawasan itu selama 30 tahun. Saya fikir sudah sampai masanya bagi saya membawa isu Sabah ke Parlimen," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.
  
Pairin adalah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Timbalan Ketua Menteri Sabah, Anggota Parlimen bagi Keningau dan Anggota Dewan Undangan negeri Tambunan.
  
Pada pilihan raya umum 2008, Jeffrey bertanding menentang Pairin di kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan tetapi dikalahkan oleh abangnya.

Beliau juga bertanding di DUN Bingkor tetapi dikalahkan oleh calon Barisan Nasional, Justine Guka dengan 171 undi dalam pertandingan empat penjuru melibatkan dua calon Bebas lain - Victor Leornadus dan Uling@Thomas Angan.
  
Ditanya mengapa beliau mengambil keputusan bertanding sekali lagi di kawasan berkenaan, Jeffrey berkata: "Sedapat mungkin saya berharap ini tidak terjadi, namun merasakan kawasan di sana sangat-sangat mengharapkan perubahan."
  
"Dengan lain perkataan, mereka inginkan sesuatu yang baru. Ia tidak ada kena mengena dengan keluarga, lebih kepada politik," katanya.
  
Jeffrey, seorang lulusan Harvard, telah bertukar parti politik beberapa kali sejak dua dekad lalu -- pernah menganggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR Bersatu) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).
  
Beliau juga pernah menyertai PKR dan kemudian dilantik sebagai naib presiden parti itu sehinggalah beliau meletakkan jawatannya pada 28 Okt 2009. - Bernama

6 ulasan:

mantera berkata...

sebelum ini Jeffrey pernah bertanding di Keningau mementang pairin tapi kalah, kali ini kita tgk, adakah ia akan berulang lagi.

Tanpa Nama berkata...

Ramai yang tidak suka dengan pemimpin yang asyik lompat parti. Rasanya penduduk Keningau pun sudah kurang yakin dengan JK.

Unknown berkata...

Ini tidak ada apa-apa yang dirisaukan. Yang pasti ini bagi memastikan siapakah yang lebih disokong antara mereka berdua ini.

Tanpa Nama berkata...

Tidak disangkal bahawa saingan akan hebat jika ia hanya PK dan JK.

Sotong Kurita berkata...

memandangkan Pairin telah 30 tahun berkhidmat di kawasan itu, eloklah Jeffrey membatalkan saja niatnya untuk melawan abangnya sendiri.. dalam tempoh 30 tahun itu, Pairin telah banyak menyumbang kepada penduduk dikawasan yang diwakilinya..

Sotong Kurita berkata...

kalau Jeffrey mahu jadi hero pun, jangan la sampai menderhaka kepada abang sendiri atau cuba mengundang peperangan dalam keluarga sendiri..