Jumaat, 1 Jun 2012

Gempar jumpa ikan pelik

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN

Gempar jumpa ikan pelik
Zamirul Syafiq (kiri) bersama adik beradiknya dan penduduk kampung memegang ikan, pelik sepanjang kira-kira dua meter untuk tatapan orang ramai.
 
KUANTAN - “Belum pun hilang rasa pelik selepas terbaca mengenai penemuan ikan ganjil oleh nelayan di Kerteh, Terengganu melalui sebuah akhbar kelmarin, hari ini saya sendiri pula yang menjumpai ikan spesies sama terdampar di Pantai Kampung Sungai Ular di sini,” kata seorang nelayan, Zainuddin Busu, 36.

Ikan pelik yang dipanggil ‘ikan naga’ itu ditemui kira-kira jam 8 pagi ketika dia bersama dua anaknya turun ke pantai untuk memukat ikan.

Zainuddin berkata, anaknya, Zamirul Syafiq, 16 terpandang objek pelik terapung di gigi air ketika mereka menaiki motosikal melalui pesisiran pantai tersebut.

“Pada mulanya kami sangka objek itu ular mati lalu mendekati bangkai tersebut.

“Saya dan anak terkejut apabila mendapati objek berwarna putih itu sebenarnya seekor ikan yang amat ganjil berukuran kira-kira dua meter dan berat dianggar hampir lapan kilogram,” katanya.

Dia berkata, ikan itu ditemui sudah mati tetapi keadaan badan masih baik, tidak busuk atau cedera .

Spesies ganjil

Dia yang membesar dalam suasana perkampungan nelayan di situ mengakui tidak pernah melihat ikan spesies tersebut sebaliknya mengetahui kewujudan ikan tersebut di perairan Pantai Timur melalui akhbar kelmarin.

“Semua nelayan di sini termasuk warga emas yang berpuluh tahun bergelumang dengan ombak mengakui tidak pernah melihat ikan ini,” katanya.

Zainuddin berkata, ikan itu amat ganjil dengan rupa yang agak menakutkan.

“Ikan berwarna putih ini memiliki mata bulat dan besar, mulut besar dengan bibir lembut, mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala seperti naga.

“Manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan,” katanya.

Dia berkata, pada hari sebelumnya dia ada ternampak kelibat seakan ikan besar melibas- libas ekor di satu kawasan berhampiran tempat ikan itu ditemui.

“Pada mulanya saya beranggapan kelibat itu adalah ikan biasa yang besar sedang mengejar anak-anak ikan.

“Saya tidak nampak bentuk ikan itu dengan jelas namun percaya kelibat itu adalah ikan ini,” katanya.

Zainuddin berkata, mungkin ikan itu dari spesies ikan laut dalam yang tersesat ke perairan cetek dan tidak dapat menyesuaikan keadaan di perairan ini menyebabkan haiwan itu mati.

Boleh buat kajian

Dia berkata, dia menolak andaian sesetengah pihak bahawa kemunculan ikan itu mungkin satu petanda akan berlaku sesuatu kejadian di situ.

“Mungkin semua ini hanya satu kebetulan,” katanya.

Katanya lagi, saya belum bercadang untuk menjual ikan ini sebaliknya menunggu pihak Jabatan Perikanan datang melihat ikan ini hari ini (semalam).

“Kalau mereka hendak ambil untuk kajian, saya akan serahkan tapi jika tidak, saya sudi menjual kepada mana-mana pihak berminat.

Sementara itu, sumber Jabatan Perikanan Pahang berkata, ikan yang ditemui itu bukan luar biasa sebaliknya sejenis ikan yang selalunya menghuni dasar laut yang berkedalaman 500 hingga 1,000 meter.

Ikan Naga atau Oarfish (Regalecus Russelii) ini jarang ditemui di kawasan pesisir pantai bagaimanapun ada kalanya ia akan menghanyutkan diri ke kawasan pantai bila hendak mati.

“Ini kali pertama penemuan ikan ini dilaporkan terdampar di pantai ini dan kita tidak pasti punca sebenar haiwan ini mati," katanya.

Tiada ulasan: