Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Kontinjen Polis Pulau Pinang DSP Zailani Amit berkata dalam serbuan pada pukul 7.45 malam itu, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga emas.
"Dua lelaki yang ditahan itu berumur lingkungan 30-an manakala seorang lagi berusia 79 tahun dan ketika ditahan mereka sedang menjalankan urus niaga menerusi Internet," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati warga emas itu terbabit dengan kesalahan yang sama semasa musim bola sepak Piala Dunia yang lepas.
Katanya sindiket itu terlibat mengatur pertaruhan perlawanan bola sepak dan menerima wang pertaruhan mencecah sehingga RM100,000 bagi setiap perlawanan.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa peralatan dan perkakasan perjudian, 49 keping kertas disyaki maklumat pertaruhan, sejumlah wang tunai, dua buah telefon bimbit dan dua jadual perlawanan bola sepak Piala Euro," katanya.
Beliau berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 6(3) (a) Akta Pertaruhan 1953, yang jika bersabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan