Sabtu, 16 Jun 2012

Dua Syarat Tambahan Perlu Dipatuhi Lynas Untuk Dapatkan TOL

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Dua syarat tambahan perlu dipatuhi Lynas (M) Sdn Bhd bagi mendapatkan lesen pengendalian sementara (TOL) kerana syarat tambahan itu akan dimasukkan dalam syarat lesen yang diputuskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30 Jan lepas, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili berkata, beliau mengambil tindakan berdasarkan kuasa yang diberikan mengikut Subseksyen 32 (5) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 setelah meneliti serta mempertimbangkan semua keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan rayuan tiga individu terhadap keputusan AELB meluluskan TOL secara bersyarat kepada Lynas.

"Saya mendapati bahawa mereka (perayu) tidak mempunyai justifikasi dan asas saintifik atau teknikal yang kukuh untuk saya mengetepikan keputusan Lembaga (AELB).

"Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan perayu juga telah diberi pertimbangan oleh Lembaga (AELB) semasa membuat keputusan mengenai kelulusan TOL," katanya dalam satu kenyataan berhubung keputusan perbicaraan rayuan yang difailkan tiga individu terhadap keputusan AELB meluluskan TOL kepada Lynas.

Ongkili, yang membuat keputusan pada Rabu lepas, berkata syarat tambahan itu menghendaki Lynas mengemukakan kepada AELB kaedah imobilisasi unsur-unsur radioaktif dalam residu yang akan dilupuskan untuk menangani situasi terlalu banyak residu terkumpul di Kemudahan Penyimpanan Residu (RSF).
"Kaedah imobilisasi bertujuan memerangkap unsur radioaktif daripada tersebar ke alam sekitar," katanya.

Daripada segi kemudahan pelupusan residu radioaktif, Ongkili berkata Lynas perlu mengemukakan Pelan Tindakan Kecemasan kepada AELB untuk disahkan bagi mengawal penyebaran debu daripada residu ke udara serta alam sekitar.

"Pelan ini diperlukan bagi menangani masalah sekiranya berlaku kegagalan terhadap sistem semburan air serta mengambil kira penyediaan sumber airalternatif secara siap sedia sepenuh masa sebagai langkah kontigensi," katanya.

Ongkili berkata, kaedah imobilisasi serta Pelan Tindakan Kecemasan yang diluluskan dan disahkan AELB akan dijadikan sebagai syarat-syarat lesen.

"TOL hanya akan dikeluarkan Lembaga (AELB) setelah Lynas mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan termasuk dua syarat tambahan tersebut," katanya.

Pada 30 Januari lepas, AELB meluluskan Lesen Kelas A (Mengilang - PeringkatPengendalian Sementara). Rayuan terhadap keputusan AELB meluluskan TOL kepada Lynas difailkan Ismail Abu Bakar, Tan Ah Meng dan Abujavalli V Raman di bawah peruntukan Seksyen 32 Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.
Perbicaraan rayuan diadakan pada 17 April lepas. - BERNAMA

Tiada ulasan: