Isnin, 4 Jun 2012

Dr M: Kebebasan Internet perlu ada batasnya


 
 
KUALA LUMPUR, 3 Jun — Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Putrajaya supaya memikirkan kembali berkenaan kebebasan Internet, yang mana sebelum ini beliau berkata Internet tidak perlu disekat.
 Mantan perdana menteri itu dipetik akhbar mingguan Berita Minggu hari ini berkata, kerajaan perlu dibenarkan mencari jalan menapis kekotoran yang masuk melalui internet dan mengambil tindakan.

“Negara perlu dibenarkan menapis segala kekotoran yang masuk melalui Internet. Sudah tentunya jika boleh ada kawalan ia baik.

“Tetapi jika peraturan itu dilanggar, perlu ada kuasa untuk menguatkuasa dan menghukum,” katanya dipetik Berita Minggu hari ini.

Beliau yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama dua dekad hingga tahun 2003 sebelum ini berkata, Malaysia tidak akan mengadakan sekatan terhadap Internet sebagai sebahagian usaha kerajaan pimpinannya pada masa itu membangunkan Multimedia Super Corridor.

Beliau turut mengulangi kenyataan sama pada Sidang Kemuncak Tahunan Ketiga Pemimpin Pelajar Malaysia pada Ogos tahun lalu, walaupun mencadangkan tindakan disiplin dikenakan terhadap pesalah Internet.

“Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan yang divetuskan oleh Internet.

“Untuk itu, saya rasa kita ada hak untuk mengharamkan, tapi, saya rasa dari segi politiknya, jika tidak berlaku perkara itu, ia tidak perlu ditapis,” katanya sebelum ini dipetik Bernama.

Bagaimanapun, perdana menteri yang pernah memerintah negara ini selama 22 tahun dan masih lagi berpengaruh berkata, beliau pada ketika itu tidak menyedari keupayaan sebenar Internet.

“Apabila saya katakan tidak perlu ada penapisan Internet, saya benar-benar tidak menyedari kuasa Internet, kuasa untuk menurunkan nilai moral, menimbulkan masalah, dan kemarahan.

“Oleh itu, kita perlu memikirkan semula kebebasan mutlak yang diberikan kepada Internet,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) sebelum ini turut menyuarakan pendapat sama dan berjanji tidak akan melakukan sekatan terhadap Internet, namun akan mendekati rakyat Malaysia melalui media sosial.

“Rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di zaman pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, dan Malaysia membangunkan Multimedia Super Corridor, Tun berjanji kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan melakukan penapisan terhadap Internet.

“Kerajaan sangat komited dalam perkara itu,” kata Najib sewaktu Sidang Blogger Pertama Serantau Asean pada 24 April tahun lalu.

Media sosial, terutamanya Facebook dan Teitter, telah diakui menjadi sebahagian daripada pencetus “Arab Spring” di Mesir apabila rakyat negara itu menuntut presiden mereka Hosni Mubarak untuk meletak jawatan.

Kerajaan Mesir telah telah mengharamkan Twitter, blog, ekoran perhimpunan besar-besaran yang dirancang melalui laman sosial tersebut.

Terdapat dua cubaan daripada kerajaan untuk mengaplikasikan penapisan seperti yang dilaksanakan negara China, dikenali sebagai “Green Dam”. Kedua-duanya telah menerima protes meluas oleh pengguna Internet.

Perkembangan Internet telah membolehkan pembangkang menyebarkan maklumat melalui secara “online” dilihat menjadi faktor Barisan Nasional (BN) tewas sewaktu pilihan raya umum 2008.

Menyedari hal itu, BN mula merekrut unit maya dikenali sebagai “cybertroophers” untuk merapatkan jurang dengan memberikan latihan kepada setiap ahlinya.

Tiada ulasan: