Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, selaras dengan itu negara tersebut akan memeterai perjanjian dengan negeri ini bagi membantu mereka mengeluarkan dinar dan dirham sendiri.
"Esok kita akan mengadakan sidang media berkaitan perkara tersebut dan berharap ia akan berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Majlis Perasmian Ekspo
Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Berasaskan Dinar dan Dirham di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasmikannya dan Gabenor Wilayah Qom Iran, Mohamed Hussien.
Menurutnya, selain itu ekspo yang diadakan memberi peluang Kelantan memperkenalkan penggunakan dinar dan dirham ke peringkat antarabangsa apabila ia turut disertai oleh beberapa negara lain seperti Iran, Indonesia, Turki, China dan beberapa negara lain lagi.
Husam berkata, melihat kepada sambutan yang diberikan oleh negara-negara lain ia membuatkan Kerajaan Kelantan merasakan mereka tidak bersendiri.
Beliau berkata, Kelantan boleh berkembang dari segi ekonomi dan apa yang dilakukan ini merupakan kesinambungan daripada ekspo Cheng Ho yang diadakan sebelum ini.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengajak negara-negara Islam bersatu bagi menghasilkan ciptaan canggih setaraf dengan negara barat bagi mengembalikan semula kegemilangan di zaman saintis-saintis Islam.
"Kebiasaannya kita sudah lihat banyak produk makanan yang dihasilkan kenapa tidak kali ini kita bergabung dan mencipa alatan canggih pula.
"Saya yakin ia tidak mustahil kerana umat Islam terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya di mana ia akan menjadi kelebihan kepada kita semua," katanya memberikan cadangan semasa menyampaikan ucapan perasmian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan