Selasa, 22 Mei 2012

PTPTN sentiasa bertolak ansur dengan peminjam

SINAR HARIAN

SUNGAI PETANI - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa bertoleransi dalam memberikan pertimbangan berhubung pembayaran balik pinjaman asalkan peminjam bersedia mengadakan perbincangan.
  
Ahli Lembaga Pengarah PTPTN Datuk Tajul Urus Md Zain berkata walaupun PTPTN mensyaratkan setiap peminjam membayar balik selepas enam bulan tamat pengajian, namun pihaknya sedia memberi kelonggaran kepada mereka yang mempunyai alasan munasabah.
   
"PTPTN tidaklah bertindak kejam terhadap peminjam. Semua perkara boleh dirunding dengan syarat wujud komunikasi antara peminjam dengan kami.
   
"Sebenarnya PTPTN menyediakan kaedah yang memudahkan semua pihak, termasuk bayaran serendah RM50 sebulan. Kalau tak boleh bayar dalam kadar yang ditetapkan, jangan terus menghilangkan diri," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta peringkat Kedah bagi sesi Mei/Jun 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah di Merbok, dekat sini.
  
Seramai 2,999 orang pelajar di negeri Kedah mendapat WPP dengan jumlah keseluruhan RM4.49 juta. Turut hadir ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohd Shahlan Ismail Nasution.
  
Tajul Urus berkata PTPTN juga sentiasa bersikap mesra pelanggan asalkan peminjam sedar tanggungjawab mereka untuk membuat pembayaran balik.
  
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga 31 Mac 2012, PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 1.96 juta peminjam melibatkan peruntukan berjumlah RM43.85 bilion.
  
Bagaimanapun, katanya, jumlah kutipan balik bayaran masih rendah iaitu sekitar RM3.2 bilion sedangkan jumlah sepatutnya sebanyak RM6.8 bilion.
  
Mengenai WPP, seramai 32,777 pelajar mendapat wang pendahuluan berjumlah RM1,500 setiap orang bagi sesi pengajian Mei/Jun 2012.
 
"Pengagihan WPP akan dibuat secara berperingkat selepas ini yang meliputi pelajar peringkat diploma, ijazah dan juga politeknik," katanya.
  
Sementara itu, Shahlan dalam ucapannya berkata rakyat Malaysia amat bertuah kerana kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman PTPTN kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.
  
Katanya WPP pula banyak membantu meringankan beban ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
  
"Cuma saya berharap selepas ini para pelajar yang meminjam, dapat membayar balik kepada PTPTN. Kegagalan membayar balik  pinjaman akan mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian mereka," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: