Sabtu, 26 Mei 2012

Nazri pertahan tindakan atas Bersih

 

 KL TODAY

Putrajaya mempertahankan dakwaan terhadap Bersih 2.0 atas kemusnahan yang dibuat ketika perhimpunan 28 April, kerana kumpulan pemerhati pilihan raya itu “jelas” telah melanggar undang-undang yang diperuntukkan Akta Perhimpunan Aman 2011.Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, akta berkenaan telah dikuatkuasakan dan sesiapa yang didapati melanggar akta tersebut perlu dihukum.“Jelas mereka telah melanggar undang-undang. Dan tiada pihak yang boleh melangkaui undang-undang,” kata menteri berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menambah, pemimpin  Bersih 2.0 jelas peruntukan berkenaan akta tersebut, yang dikuatkuasakan sehari sebelum perhimpunan tersebut, dan tidak seharusnya berpura-pura terkejut kerana disaman ekoran kemusnahan yang dilakukan.

“Mereka sedar dan maklum sebab dan akibat daripada tindakan mereka. Jadi, sekarang, sama ada orang fikir ia betul atau tidak, ia terletak di bawah kuasa mahkamah. Biar mahkamah yang putuskan,” katanya.
“Selain itu, mereka yang mengatakan mereka menentang kerajaan mengambil tindakan adalah orang yang sama yang menyokong mereka yang melanggar undang-undang tersebut,” tambahnya merujuk kepada Bersih 2.0.

Jelas Nazri, kerajaan akan meneruskan pendakwaan tersebut walaupun dikritik, malah akan terus menggunakan peruntukan daripada akta tersebut apabila diperlukan.

“Kami akan teruskan. Tindakan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanpa mengira pertubuhan mereka,” tegasnya.

Kerajaan telah mengemukakan saman terhadap Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 kerana didakwa telah menyebabkan berlakunya kemusnahan yang dianggarkan bernilai RM122,000 ekoran perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Kesemua 10 ahli jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenevasan, adalah pihak pertama yang disaman di bawah Akta Perhimpunan Aman, kurang sebulan selepas akta yang membenarkan rakyat berhimpun “selaras kehendak antarabangsa” dikuatkuasakan.

Namun Bersih 2.0 semalam menegaskan mereka telah bersedia untuk mempertahankan diri dan menggunakan dana khas untuk membiayai proses perundangan tersebut.

“Kami telah bersedia untuk mempertahan diri. Kami mempunyai peguam yang sedia mengambil kes kami,” kata Ambiga kepada pemberita sewakti sidang media di luar kediamannya di sini.

Pengerusi Bersama Bersih itu menjelaskan penyokong dan jiran-jirannya sudah mula meraih dana, dan berterima kasih kepada mereka kerana “memberikan bantuan terhadap tindakan yang akan kami hadapi.”

Salinan writ saman itu dihantar  menyebut kerajaan akan mengemukakan saman terhadap Bersih di bawah Seksyen 6(2)(g) akta tersebut yang menyatakan penganjur harus “memastikan perhimpunan tidak membahayakan kesihatan atau mendatangkan kerosakan terhadap harta benda atau alam sekitar.”

Plaintif mendapati defendan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka apabila perhimpunan menjadi kucar-kacir dan berubah menjadi rusuhan, memusnahkan kerosakan terhadap kenderaan milik plaintif,” jelas writ tersebut.

Kenyataan itu juga menyenaraikan 15 kenderaan, majoritinya milik polis, dan perlu dibaiki semula dan menelan belanja RM122,000.

Kerajaan turut menuntut beberapa kemusnahan am, kepentingan, dan pengesahan Bersih telah melanggar Seksyen 6(2) (g).

Tindakan itu diambil selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Presiden Azmin Ali dan Ketua cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin semalam didakwa kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan terbabit di bawah Seksyen 4(2)(c) akta PAA 2012.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan ketika membentangkan akta tersebut di Parlimen tahun lalu, ia bakal menyaksikan “pembaharuan” dan membenarkan rakyat Malaysia terlibat dengan perhimpunan aman “selari dengan budaya dan kehendak antarabangsa.”

Kes berkenaan akan disebut pada 13 Jun dijadapan  hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Prasad Sandosham Abraham.

Ambiga telah mengarahkan ribuan peserta perhimpunan di Dataran Merdeka untuk bersurai pada jam 2.30 petang pada 28 April tersebut.

Namun begitu, pengumuman beliau itu tidak diendahkan penyokongnya.

Sejurus jam 3 petang, sebahagian perusuh mula merempuh halangan yang dibina pihak berkuasa di sekeliling dataran tersebut dan memaksa polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perusuh.

Polis kemudiannya mengejar perusuh hingga ke kawasan lorong-orong sekitar dataran bersejarah tersebut dan turut melihatkan kedua-dua pihak mula menggunakan kekerasan yang berlanjutan. Sehingga empat jam kemudiannya..

Terdapat juga segelintir perusuh yang mendakwa diserang sekumpulan lebih 10 anggota polis pada masa yang sama dan menunjukkan bukti kejadian tersebut, namun polis turut menegaskan perusuh mula mengganas dan menyerang kereta polis.

Kereta polis itu kemudiannya melanggar bangunan sebelum beberapa perusuh menerbalikkannya.

Tiada ulasan: