Isnin, 21 Mei 2012

Guan Eng : CJMY Lebih Telus Dari Media Perdana





PULAU PINANG  : Sesuatu berita itu seharusnya disampaikan dengan penuh profesionalisme dan integriti tanpa mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan, demikian ucap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menghadiri Malam Gala Konferens CJMY (Kewartawanan Warganegara Malaysia) di sini baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa senang hati dengan kewujudan Kewartawanan Warganegara yang dilihat lebih telus dalam menyampaikan berita yang kebanyakkannya sengaja diabaikan oleh media arus perdana.

“Sejak akhir 2008, Kewartawanan Warganegara di seluruh Malaysia tanpa mengenal penat lelah menyampaikan berita dari semua aspek termasuk cerita-cerita yang sentiasa diketepikan oleh media arus perdana selama ini.

“Secara tidak langsung, usaha ini memberi ruang dan peluang kepada penonton dan pembaca untuk melihat sisi lain sesuatu cerita atau berita, yang biasanya tidak hadir dalam laporan media arus perdana,” ucap Guan Eng yang turut bertindak melancarkan Portal Terbaru CJMY.

Dalam majlis yang sama juga, beliau mengutuk sekeras-kerasnya sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang disifatkannya memalukan Malaysia.

“Mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku yang melakukan aksi memualkan di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan malah ketiadaaan sebarang tindakan seolah-olah merestui segala perbuatan yang tidak senonoh itu.

“Sedangkan Datuk Ambiga tidak melakukan sebarang jenayah, dia tidak meletupkan orang dengan C4, tidak menyalahgunakan dana rakyat membeli kondominium tetapi dia diperlakukan seolah-olah dia mengancam negara sehingga ingin dipenjarakan dan ingin dibuang negeri,” tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Mengulas lanjut, beliau berkata segala perbuatan tidak bermoral terhadap Ambiga hanya tindakan terdesak dan dengki Umno-BN ekoran kejayaan Bersih 3.0 mengumpulkan 300, 000 rakyat demi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Tiada ulasan: