Datuk Zainal Abidin Osman, 52, dalam pernyataan saksinya berkata artikel yang disiarkan di 'Keadilan Daily' pada 3 Julai dan 'Suara Keadilan' pada 5 Julai tahun lepas juga untuk menunjukkan Umno adalah sebuah parti yang tidak beretika dan berprinsip kerana menyokong perbuatan yang mampu menyemarakkan keganasan.
Katanya di dalam artikel itu Lim membuat kenyataan bahawa Umno terlibat di dalam penganjuran demonstrasi di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai tahun lalu dan nama Zainal Abidin turut ditulis di dalam artikel itu.
Zainal Abidin, yang dinamakan sebagai plantif bagi pihak Umno Pulau Pinang, menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa Umno tidak akan terlibat dalam demonstrasi yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam.
Mengenai kenyataan Lim bahawa beliau turut hadir di dalam perhimpunan itu, Zainal Abidin berkata: "Jika benar perarakan itu dijana oleh Umno, sudah tentu saya sebagai Pengerusi Umno Pulau Pinang akan berada di barisan hadapan."
Zainal Abidin turut memberitahu bahawa ahli-ahli Umno bebas dan tidak dihalang menyertai mana-mana organisasi atau persatuan seperti Persatuan Penjaja, Persatuan Seni Silat Gayung dan lain-lain.
Oleh yang demikian, katanya mana-mana ahli Umno di dalam perarakan di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu tidak boleh menjadi kayu pengukur penglibatan Umno.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Jagdeep Singh Deo yang mewakili Lim, adakah di dalam artikel dalam 'Suara Keadilan' itu mengandungi perkataan 'menganjurkan', Zainal Abidin berkata "Tiada. Perkataan yang ada adalah 'penglibatan'.
Zainal Abidin menegaskan bahawa beliau tidak berada di tempat kejadian dan tidak mengetahui berapa ramai ahli Umno yang terlibat dalam demonstrasi.
Katanya kehadiran Senator Mohamad Ezam Mohd dalam demonstrasi itu tidak diketahuinya dan ia juga tidak melibatkan Umno kerana Mohamad Ezam hadir sebagai ahli badan bukan kerajaan (NGO).
Ditanya Jagdeep Singh adakah tindakan Mohamad Ezam berdemonstrasi membawa maksud Umno terlibat, Zainal Abidin berkata: "Jika Mohamad Ezam daripada Pulau Pinang, ya (terlibat) tetapi dia bukan, dia orang luar. Saya tidak tahu kenapa dia datang. Dia berada di situ kerana dia NGO."
Zainal Abidin memfailkan saman itu pada 24 Oktober 2011, dengan menamakan Lim, yang juga Setiausaha DAP, PKR selaku pemilik laman berita elektronik 'Keadilan Daily' dan akhbar 'Suara Keadilan', Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan 'Keadilan Daily' dan 'Suara Keadilan', dan ketua penyuntingnya, Fazallah Pit sebagai defendan.
Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah bersambung Isnin ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan