KUALA LUMPUR - Selepas hampir lima tahun penyanyi Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali (gambar kecil) menjadi penghuni rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bukit Tunku di sini, penyanyi tersohor itu dikatakan telah diarah keluar oleh pihak pengurusan pusat berkenaan pada awal November lalu.
Penyanyi itu dikatakan meninggalkan rumah tersebut pada awal November lalu setelah dia menerima surat arahan supaya keluar dari rumah perlindungan dan pemulihan akhlak itu yang disediakan untuk golongan penagih dadah.
Jamal, 52, yang ditemui selepas sidang akhbar Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah dan Pelancaran Album Raja Pop 2 di pejabat Warner Music Malaysia di sini semalam bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut tetapi mengaku lebih tenang duduk di luar berbanding di Pengasih.
"Saya lebih tenang berada di luar (Pengasih) daripada duduk di dalam. Kalau boleh saya tak mahu tumpang orang dan nak duduk di rumah sendiri.
"Saya minta maaf kerana tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini. Tunggulah nanti saya adakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini," katanya yang kini menyewa sementara menunggu rumah baharunya yang dijangka siap pada bulan Februari tahun hadapan.-Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan