MALAYSIA CHRONICLE
KUALA LUMPUR- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau tidak akan mengambil tindakan mahkamah terhadap setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming dalam isu "hitam metalik" tetapi sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menghukum kebiadaban setiausaha DAP Perak itu.
Beliau berkata hukuman rakyat merupakan pengadilan terbaik dan tepat kerana kenyataan Nga yang menggelarkannya "hitam metalik" dibuat di hadapan khalayak ramai dengan tujuan untuk mencerca peribadi, bukannya menghasut.
"Saya sering ditanya, kenapa saya berdiam diri, kenapa tidak ambil tindakan mahkamah dan sebagainya. Saya jawab bahawa perlu apa saya mengambil tindakan mahkamah kerana kenyataan itu dibuat di hadapan orang ramai dan ditujukan khusus dengan mencemuh dan mencerca keperibadian saya.
"Beliau tidak membuat kenyataan yang dikatakan menghasut dan sebagainya tetapi mencerca dan menghina, jadi pengadilan yang sebaik-baiknya ialah saya pulangkan kepada rakyat," katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-57 dan Seminar Pemikiran Najib Razak Dari Nazrah Generasi Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini Sabtu.
Pada 9 September lepas, Nga yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Remis, didakwa menghina Zambry pada dalam satu ceramahnya di Perak dengan menggelarkannya sebagai "hitam metalik" dan "haram jadah".
Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata isu itu akan menjadi indikasi kepada rakyat untuk menilai sendiri perwatakan sebenar pemimpin yang kononnya mendakwa memperjuangkan kesaksamaan antara kaum sama ada mereka melaksanakannya atau sebaliknya.
Nga bagaimanapun telah memohon maaf atas kenyataannya itu.
Mengenai seminar itu, Zambry berkata penganjurannya adalah tepat dalam memberi peluang kepada generasi muda khususnya dalam mengupas dan memahami gagasan besar yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata antara pemikiran besar perdana menteri terhadap generasi muda ialah bukan hanya sekadar memberi harapan bahawa mereka adalah pewaris kepimpinan negara di masa hadapan sebaliknya mengenai ruang dan peluang yang harus diberikan kepada golongan itu bermula sekarang.
"Kalau sekiranya mereka mempunyai segala kelayakan, maka seharusnya mereka itu diberi ruang dan peluang ketika itu juga untuk turut menyertai pentas nasional dan negeri tanpa perlu tunggu lebih lama, itu pemikiran perdana menteri terhadap generasi muda," katanya.
Pada majlis itu Zambry turut mengumumkan sumbangan RM50,000 untuk aktiviti GPMS.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan