Khamis, 8 Disember 2011

Dakwat kekal: PAS bersikap tunggu dan lihat

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu besama parti gabungan Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat mahu melakukan reformasi dalam demokrasi.



KUALA TERENGGANU: PAS mengambil sikap tunggu dan lihat dengan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang (PRU13).

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu besama parti gabungan Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat mahu melakukan reformasi dalam demokrasi.

“Pemulihan demokrasi tidak akan berjaya sekiranya kerajaan tidak bersungguh menyokong usaha tersebut. Kerajaan mestilah bersungguh-sungguh (mahu melakukan perubahan),” katanya kepada media di Wisma Darul Iman di sini selepas menghadiri sidang

Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa penggunaan dakwat kekal boleh dilaksanakan dalam PRU13.

Presiden PAS itu berkata, PRU13 tidak sepatutnya diadakan kecuali beberapa perubahan penting telah dilakukan dalam sistem pilihan raya, di antaranya pembersihan daftar pemilih dan kebebasan media.

“Pembersihan daftar pemilih (penting bagi) mengelakkan penipuan dan kebebasan media untuk semua parti politik sebagaimana diamalkan di negara-negara lain. Contohnya Indonesia sudah berubah (dan) Thailand sudah berubah.

“Media cetak dan elektronik bukan saja hak kepada parti yang memerintah tetapi parti-parti yang bukan memerintah supaya rakyat boleh mendengar kerana media adalah saksi (dan) rakyat adalah hakim,” jelasnya.

Menurutnya, rakyat tidak mungkin boleh membuat penghakiman yang adil sekiranya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja.

Tiada ulasan: