Isnin, 19 Disember 2011

3 dokumen Bank Dunia bukti Dr M bohong

Jelas sekali bahawa Mahathir berbohong apabila mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari Bank Dunia, kata Pengarah Strategi PKR.



PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa berbohong apabila terbukti beliau bertanggungjawab mengambil pinjaman Bank Dunia sewaktu krisis kewangan 1997-1998 ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli, mendedahkan tiga dokumen rasmi bersabit salah satu dari empat pinjaman Bank Dunia berjumlah USD704 juta yang diambil kerajaan bagi menangani kemelut krisis keewangan tahun 1997/1998.

Menurut Rafizi, ketiga-tiga dokumen rasmi Bank Dunia itu berhubung pinjaman US60 juta yang merujuk kepada Kertas Maklumat Projek bernombor PID6999 bertarikh 23 Oktober 1998.

Laporan itu katanya sebagai laporan awal dan yang pertama untuk Bank Dunia menilai permohonan pinjaman sesebuah negara sebelum rundingan bermula.

Rafizi berkata, bagi laporan kedua pula merujuk kepada Permohonan Pinjaman bernombor 18855-MA bertarikh 3 Mac 1999 yang disediakan untuk makluman pimpinan Bank Dunia dalam membuat keputusan sama ada untuk meluluskan pinjaman oleh kerajaan.

“Terdapat jadual kerja dan rundingan yang melibatkan kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. Agensi bertanggungjawab untuk berunding adalah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Permohonan pertama dibuat 26 Julai 1998 dan rundingan selanjutnya bermula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, yang bertanggungjawab sepenuhnya ketika itu adalah Mahathir,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Dedah Rafizi, untuk dokumen ketiga melibatkan perjanjian ditandatangani pada 31 Mac 1999 dibawah persetujuan Mahathir yang juga selaku Menteri Kewangan.

“Jelas sekali bahawa Mahathir berbohong apabila mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari institusi antarabangsa -Bank Dunia malah pentadbiran beliau dibawah arahan dan seliaan beliau.

Fitnah terhadap Anwar

“Maka fitnah terhadap Anwar adalah usaha memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik oleh beliau (Anwar),” dakwa beliau.

Perkara tersebut timbul ketika Anwar memberikan ucaptama berhubung Program Transformasi Ekonomi kepada diplomat asing dan para duta Khamis lalu, mendakwa Mahathir mendapatkan pinjaman dari Bank Dunia pada 1998.

Namun Mahathir pula mencabar Anwar untuk menunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Malah Mahathir berkata beliau adalah orang yang menolak pinjaman daripada Bank Dunia pada masa itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perdagangan Wong Chen pula mencabar Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) dan kerajaan untuk berhenti bercakap mengenai hal lama, sebaliknya terus fokus kepada perkembangan ekonomi masa depan.

“Isu utama adalah ekonomi. Sedangkan ekonomi Malaysia masih belum berkembang dan masih dalam ekonomi pertengahan. Bila Mahathir kata Anwar berbohong dalam forum itu maka kita mencabar Pemandu dan kerajaan untuk henti bercakap hal lama.

“Kita fikir tentang masa depan. Jangan main cerita tahun 1997 lagi,” katanya.

Tiada ulasan: