Rabu, 17 Ogos 2011

Warga Malaysia terlibat sindiket penipuan


SYDNEY - Lima lelaki dari Malaysia dan Sri Lanka hari ini didakwa terlibat dengan sindiket penipuan antarabangsa yang bertanggungjawab melakukan serangan ke atas sistem kad kredit di Australia.

Skuad detektif New South Wales (NSW) menahan kelima-lima suspek di Sydney selepas melakukan siasatan selama beberapa bulan dengan seorang lelaki yang disyaki menguruskan aktiviti kumpulan tersebut di negara ini, Eropah serta Amerika Utara.

"Pasukan polis NSW bersikap komited bagi membanteras kegiatan penipuan dan operasi hari ini telah melumpuhkan operasi mereka," kata Detektif Suprintendan, Col Dyson.

Sindiket penipuan tersebut dipercayai menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk menyalin butiran akaun daripada jalur magnetik yang terdapat pada kad kredit atau kad debit pengguna.

Kelima-lima suspek didakwa melakukan konspirasi untuk tujuan menipu, merompak, dan terlibat dalam memalsukan dokumen pengenalan diri.

Ketika serbuan, polis turut merampas sebuah mesin mencetak slip bayaran bank, komputer riba, sejumlah telefon bimbit, wang tunai, dokumen perjalanan palsu serta beberapa kad kredit milik warga Kanada.- Utusan

Tiada ulasan: