Sabtu, 27 Ogos 2011

Harga sewa bilik, hotel meningkat di Mekah



MEKAH, Arab Saudi - Penduduk tempatan yang mengerjakan ibadat umrah mengadu tentang harga bilik hotel dan unit kediaman yang melonjak tinggi semasa Ramadan berbanding bulan-bulan lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang penduduk tempatan dari Riyadh, Saleh Al-Mutlaq berkata: "Saya berkunjung ke Mekah untuk melakukan umrah pada setiap Ramadan sejak 40 tahun lalu. Namun harga penginapan hotel-hotel berdekatan Masjidilharam kini melonjak tinggi."

"Saya dan ibu saya membayar sekitar 130,000 riyal (RM103,816) untuk tinggal di Mekah selama sebulan pada bulan Ramadan," tambahnya.

Menurut Saleh, pada masa lalu, sewa sebuah apartmen berhampiran Masjidilharam untuk sebulan cuma 25,000 riyal (RM19,955).

Seorang lagi warga tempatan dari Jeddah, Umm Thamir memberitahu: "Saya menghabiskan masa 10 hari terakhir pada bulan Ramadan di Mekah. Harga penginapan meningkat dengan drastik. Sebuah bilik untuk dua orang lengkap dengan berbuka puasa dan sahur dikenakan sewa 39,900 riyal (RM31,847) selama 10 hari."

Pendapat mereka turut dipersetujui seorang lagi warga tempatan, Hanan Muhammad yang mengakui harga penginapan hotel-hotel sekitar Masjidilharam melambung tinggi.

"Saya dan suami membayar sekitar 10,000 riyal (RM7,966) untuk tinggal tiga hari di sebuah bilik hotel yang tidak menyediakan makanan berbuka puasa atau bersahur," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai isu terbabit, Jawatankuasa Kebangsaan Untuk Haji dan Umrah (NCHU), sebaliknya memberitahu, sudah menjadi perkara biasa untuk para peniaga menaikkan harga pada bulan Ramadan supaya mereka dapat membayar kos operasi hotel selain meraih keuntungan daripada pelaburan mereka.

Kos penginapan tinggi itu dijangka menurun sebaik sahaja projek-projek pembangunan di Mekah siap dengan pengguna memiliki lebih banyak pilihan ketika tinggal di Mekah.- Agensi

Tiada ulasan: