Saya tak suka pada DAP.
Saya tak tahu kenapa. Mungkin sebab dalam fikiran saya sudah lama tertanam pandangan bahawa DAP itu parti Cina totok. Chauvinist. Tak macam MCA atau Gerakan yang sifatnya lebih toleran.
Sampai sekarang anggapan saya terhadap DAP tidak banyak berubah. Lagi pun banyak bukti-bukti menunjukkan sifat keCinaan masih tebal dalam DAP walaupun ia mendakwa sebuah parti berbilang kaum.
Namun di sebalik tidak suka itu, saya mengaku satu perkara iaitu saya tertarik dengan cara DAP berpolitik, khususnya kebelakangan ini.
DAP tidak seperti parti-parti utama lain yang berpolitik sehingga ke peringkat serang menyerang peribadi. Sudahlah begitu benda-benda yang remeh juga habis dipolitikkan. UMNO, PAS dan PKR terutamanya menjuarai politik cara ini.
Tetapi DAP berbeza. Ia tidak memainkan isu-isu remeh dan tidak pula mengamalkan budaya politik singkap kain. Kita tidak melihat atau mendengar Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, malah Teresa Kok dan Ronnie Liu menyerang peribadi musuh. Malahan mereka tidak melakukan serangan ke atas individu, sebaliknya menyerang institusi yang diwakili individu berkenaan.
DAP saya lihat lebih menekankan isu-isu yang benar-benar mempunyai kepentingan rakyat. Misalnya tentang akauntabiliti, prinsip dan dasar. Apabila membahaskan itu pula, mereka fokus. Tidaklah meleret-leret dan mengheret isu-isu lain (termasuk peribadi) sehingga menenggelamkan isu sebenar.
Saya ucapkan syabas kepada DAP dan semoga parti-parti lain mencontohi kematangannya.Peminat Nasi Kandar -Jelutong, Pulau Pinang-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan