KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengenai perpecahan Melayu membuktikan ia berlaku disebabkan “politik kotor” Umno, bukannya disebabkan faktor-faktor lain.
Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata, pendedahan Harussani juga membuktikan perpecahan Melayu bukan berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.
“Beliau (Harussani) juga menyatakan bahawa demi menjaga perpaduan Melayu, pernah menasihati (Tun) Dr Mahathir Mohamad agar tidak memecat timbalanya ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta membuat tuduhan liwat tanpa membawa empat orang saksi.
“Dengan kenyataan di atas, jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu-Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin Umno sendiri bermula dari Dr Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, pendedahan yang dibuat Harussani itu juga membuktikan tuduhan liwat terhadap Anwar pada 1998 adalah fitnah dan konspirasi Dr Mahathir.
“Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam.
“Adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir dan para pengikutnya,” katanya.
Harussani dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti di Shah Alam kelmarin berkata, beliau pernah cuba untuk bertemu dengan Dr Mahathir agar tidak memecat dan juga tidak mengenakan tuduhan liwat ke atas Anwar.
Beliau berkata pemecatan Anwar akan mengakibatkan perpecahan orang Melayu kerana Anwar mempunyai pengaruh yang besar.
Kata Muhammad, ekoran pendedahan Harussani itu rakyat perlu sedar dan menolak fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar.
“Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu.
“Kita menyeru pemimpin Umno supaya melakukan muhasabah diri dan menghentikan kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim demi perpaduan seluruh masyarakat Malaysia. Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.
Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.
Kemudian beliau berhadapan dengan kes salah guna kuasa dan liwat.
Anwar, Ketua Umum PKR, menghadapi tuduhan liwat kali pertama pada 1998 yang dikaitkan dengan beberapa individu yang rapat dengannya seperti Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan.
Anwar kini berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat yang melibatkan pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - kes masih dalam perbicaraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan