Rabu, 31 Ogos 2011

Presiden PKR: Hindarkan diri daripada bersubahat dengan fitnah

Wan Azizah Wan Ismail


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd!..... Syukur ke hadrat Allah s.w.t dengan nikmat dan keizinanNYA dapat kita semua menyambut ketibaan 1 Syawal dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Hari ini, kita diberikan lagi suatu nikmat untuk bergembira bersama keluarga, sanak saudara dan teman-teman. Namun kita juga berasa sedih dengan meninggalkan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan kesedaran rohani.

Ramadhan adalah bulan dan masa yang amat sesuai untuk kita semua meningkatkan ilmu, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kita sedar bahawa bulan ramadhan ini juga adalah tempat para pejuang yang mahu menegakkan keadilan dalam menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan fitnah dunia yang mencengkam kebebasan dan kemerdekaan rakyat.

Dalam kita bergembira dalam menyambut kehadiran Syawal, harus kita teladani apa yang sedang melanda dunia dan Malaysia khususnya. Kekangan dan bebanan sara hidup yang semakin meninggi akibat tatakelola dan perancangan yang tidak dilandasi semangat kerakyatan dan kesederhanaan. Rakyat terus dibebani dengan kenaikkan harga barang yang tidak terkawal terutamanya barang keperluan raya yang semakin hampir. Seharusnya satu mekanisme kawalselia harga ini diperketatkan dan dipantau agar keperluan rakyat dapat dipenuhi tanpa mengenepikan hak peniaga.

Kemenangan Ramadhan pastinya terhasil daripada pentarbiyahan sepanjang Ramadhan yang kemuncaknya disambut dengan sinar Syawal yang juga merupakan hari pendamaian. Justeru, kehadiran Syawal ini mengembalikan kita ke asas dan fikrah manusia yang bersih selepas menjalani latihan dan disiplin sepanjang Ramadhan. Maka dengan berkat dan fitrah kemenangan inilah yang bakal menjadi bekalan kita agar Insya Allah kita akan bertemu kembali di Ramadhan yang akan datang. Semoga peningkatan iman ini berterusan hingga ke Ramadahan yang akan datang.

Rasulullah SAW menegaskan agar kita mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam fitnah, seperti sabda Baginda yang bermaksud;-

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Justeru KEADILAN menyeru agar kita tidak terus berpeluk tubuh dan membiarkan kemarakan fitnah ini membinasakan kebenaran, keadilan dan perpaduan ummah. Marilah kita terus bersama menghindarkan diri daripada bersubahat dengan fitnah. Oleh itu kita perlu begandingan dalam membina keyakinan untuk terus meneladani kebabasan dan keadilan sejati.

Semoga selamat dalam perjalanan kembali ke kampung halaman dan berhati-hati selalu. Maaf zahir dan batin. Eid Mubarak!

*Perutusan Khas Hari Raya Eidul Fitr 1432 Hijrah oleh Wan Azizah Wan Ismail (gambar kiri) selaku Presiden PKR.

Tiada ulasan: