SEBELUM berjaya mencapai status sebagai penyanyi nombor satu negara dan menjadi pujaan hati peminatnya, Datuk Siti Nurhaliza juga seperti orang lain - mempunyai penyanyi pujaannya sendiri.
Daripada ramai penyanyi yang diminatinya, Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Siti ini mengakui dua penyanyi wanita ini telah memberikan impak yang bukan sedikit dalam hidupnya.
Seorang daripadanya adalah ratu. Bukan sembarangan ratu tetapi penyanyi yang diangkat sebagai satu-satunya ratu rock negara.
Seorang lagi pula adalah seorang penghibur yang sememangnya layak digelar diva pop kerana rangkaian lagu-lagunya yang telah meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara.
Siti sendiri tidak segan-silu untuk berkongsi cerita di mana dia telah membesar dengan lagu-lagu mereka sejak dari zaman remaja sehinggakan dia sendiri pernah menanam impian untuk beraksi di sebuah pentas bersama dua diva pujaannya itu.
Namun, hanya selepas 16 tahun bergelar penyanyi, impian Siti itu akhirnya berjaya direalisasikan oleh Global Station Sdn. Bhd., yang telah menemukan Siti dengan dua diva pujaannya iaitu Ella dan Ramlah Ram.
Walaupun hanya sebuah program khas yang diterbitkan untuk siaran Aidilfitri nanti, tetapi peluang yang diberikan itu dianggap Siti sebagai sesuatu yang cukup indah untuk dikenang sehingga ke akhir hayatnya.
"Bukannya saya tidak pernah bertemu dan menyanyi bersama mereka sebelum ini, tetapi ini merupakan program seumpamanya yang telah menyatukan kami bertiga di satu pentas.
"Tiada perkataan yang dapat saya gambarkan apabila dapat membuat persembahan eksklusif bersama Ella dan Ramlah dalam program seperti ini," ujar Siti dalam satu pertemuan singkat usai rakaman Aura 3 Diva yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang Aura 3 Diva, Siti memberitahu dia bersama Global Station telah mengadakan pertemuan dengan Astro untuk menerbitkan sebuah program raya yang menggabungkan tiga penyanyi wanita yang lahir daripada generasi berbeza.
Selepas berbincang dan menyenaraikan nama-nama yang dilihat layak untuk disatukan dalam program tersebut, akhirnya nama Ella dan Ramlah dipilih berdasarkan pencapaian serta populariti mereka dalam era masing-masing.
Ternyata Siti begitu teruja apabila diajak bercerita tentang dua penyanyi ternama negara itu yang dilihatnya memiliki keistimewaan tersendiri.
"Sejak dari zaman remaja, saya memang mengagumi gaya dan cara nyanyian Ella. Hanya dia seorang sahaja yang memiliki personaliti seperti itu sehingga ke hari ini pun, tiada siapa yang dapat menandinginya.
"Keletah dan gelagat Ella sewaktu beraksi di atas pentas membuktikan dia adalah Ella dan membuatkan ramai yang mengingatinya kerana caranya itu. Seandainya ada yang cuba menirunya, ia akan kelihatan sungguh canggung," ujar juara Bintang HMI 1995 itu yang mengakui begitu menggemari album Ella USA yang diterbitkan pada 1994.
Begitu juga dengan Ramlah yang pada hemat Siti, memiliki gaya tersendiri sehinggakan tiada siapa yang dapat menggantikan tempatnya.
Dengan kelebihan yang ada pada dirinya iaitu kekuatan vokal yang sememangnya tiada tandingan itu, kata Siti, ia merupakan aset utama juara Bintang RTM 1985 itu sehingga mampu kekal ke hari ini.
"Saya cukup menghormati Ella dan Ramlah kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka merupakan anak seni sejati sehingga dapat mengekalkan momentum mereka berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Kesabaran dan kesungguhan mereka menjadi kunci kejayaan yang menjadi inspirasi buat saya," kata Siti.- Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan