KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
GEORGETOWN: “Kami dipukul, dipijak dan ditendang seperti haiwan di depan orang ramai, sedangkan kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” dakwa dua sahabat apabila dipukul sekumpulan 15 anggota skim rondaan sukarela (SRS) di Batu Ferringhi, di sini, malam Khamis lalu.
Muhammad Farzuan Romzi, 20, dan Fendi Abdul Latif, 21, masing-masing dari Teluk Bahang berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika mereka mengunjungi rumah seorang rakan di Mutiara Apartment, Batu Ferringhi.
Bagaimanapun, Muhammad Farzuan berkata, rakannya yang menetap di tingkat empat tiada di rumah dan mereka menunggu di tepi tangga sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka anggota SRS sebelum memukul mereka menggunakan kayu, besi dan topi keledar.
Katanya, dia dan rakannya hampir pengsan selepas dibelasah tanpa belas kasihan dan mengalami lebam di seluruh anggota badan dan muka sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
“Saya terkejut dengan kejadian itu dan lebih menyedihkan apabila dituduh cuba melakukan jenayah pecah rumah dan menghidu gam selain dibelasah dan diseret dari tingkat tiga hingga tingkat bawah tanpa belas kasihan serta diperlakukan seperti binatang,” katanya.
Fendi berkata, dia kesal kerana kumpulan lelaki itu mengambil tindakan tanpa usul periksa, selain trauma dengan kejadian terbabit.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Ferringghi, jam 11 pagi semalam bagi meminta polis melakukan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan