Hasan Ali: Pejuang PAS yang tulen mesti sokong usaha mantap akidah
Malaysia ChronicleSHAH ALAM - Pejuang Pas yang tulen akan menyokong segala usaha ke arah memantapkan akidah umat Islam seperti usaha penubuhan Unit Selamat Akidah oleh Exco Agama Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, keputusan penubuhan unit adalah langkah paling wajar malah pemimpin Islam lain perlu mempunyai usaha seperti itu.
Menurutnya, beliau menganggapkan semua pemimpin dan ahli Pas seluruh negara bersetuju dengan usaha Dr Hasan malah pemimpin Islam parti lain termasuk UMNO juga harus menyokongnya.
“Saya yakin seorang pejuang Islam tulen, khasnya dalam Pas pasti akan menyokong semua usaha ke arah memartabatkan dan memantapkan akidah umat Islam. Saya tidak nampak sebarang sebab (ahli Pas) tidak bersetuju sebab Islam itu bertonggak akidah.
“Jadi, apabila ada usaha memperbaiki akidah sama ada kecil atau besar, perlu mendapat sokongan dan dokongan. Saya tidak percaya dan sukar terima adanya berita menyatakan pejuang Pas tidak bersetuju dengan orang Islam yang hendak memperjuangkan akidah,” katanya.
Beliau berkata, walaupun usaha tersebut dilihat kecil tetapi ia merupakan sumbangan berharga ke arah mempertahankan akidah umat Islam.
“Walaupun ia dilihat kecil tetapi tidak akan pernah berlaku yang besar melainkan bermula dengan kecil. Walaupun namanya hanya unit, tetapi ia adalah suatu usaha dan contoh yang bagus oleh Datuk Hasan,” katanya.
Dr Haron berkata, apabila berlaku gejala kemerosotan akidah seperti orang Islam menukar agama selain Islam, ia merupakan suatu bencana yang patut diberi perhatian serius oleh umat Islam terutamanya pihak berkuasa.
Katanya, bukan sahaja Dr Hasan malah semua yang terlibat menguruskan dana umat seperti dana zakat, dana wakaf, dana sedekah dan apa sahaja perlu serius membantu umat Islam yang memerlukannya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan