Ahad, 28 Ogos 2011

"Saya perlu tengok rakaman" - Mohamad Sabu

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau akan meneliti rakaman ceramahnya semula berhubung dakwaan akhbar Utusan Malaysia bahawa beliau mengatakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 adalah wira negara.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, beliau tidak ingat isi ceramahnya 23 Ogos lalu itu kerana sudah seminggu berlalu dan banyak ceramah-ceramah lain yang dihadirinya selepas itu.

Bagaimanapun menurutnya, beliau sedang berusaha mendapatkan semula rakaman ceramahnya itu untuk melihat adakah benar beliau berkata sedimikan seperti dilapor akhbar Umno itu.

"Saya sedang cari tape rakan itu balik, saya tak ingat adakah saya kata begitu.

"Lepas kita tengok baru saya akan ulas sama ada perlu bincang dengan peguam untuk tindakan seterusnya atau bagaimana," katanya.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Tiada ulasan: