Isnin, 29 Ogos 2011

Maut disengat tebuan

SINAR HARIAN


BANDAR BENTONG – Seorang peniaga maut selepas disengat tebuan di bahagian muka ketika cuba membaiki bahagian tangki air yang bocor di kediamannya di Taman Bukit Indah, dekat sini.

Mangsa, Chan Keong Sang, 45, dimasukkan ke Hospital Bentong kira-kira jam 3 petang Rabu lalu dan disahkan meninggal dunia jam 4 petang Khamis.

Anak mangsa yang dikenali sebagai Ah Leong, 14, berkata, dia turut sama membantu ayahnya ketika kejadian itu berlaku.

Menurutnya, dia memegang tangga untuk membolehkan ayahnya naik ke atas membaiki tangki air yang rosak kira-kira jam 1.30 petang Rabu lalu.

“Tiba-tiba ayah meminta saya lari dan dalam masa sama, saya terdengar dia menjerit kesakitan akibat diserang tebuan.

“Apabila turun, saya dapati muka ayah terdapat beberapa kesan sengatan,” katanya.

Ah Leong berkata, selepas kejadian itu, ibunya menguruskan ayahnya.

Menurutnya, ibu membawa ayahnya ke hospital kira-kira jam 3 petang untuk mendapatkan rawatan.

“Ayah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang di Hospital Bentong selepas tidak sedarkan diri.

“Bapa akan disemadikan pada hari ini (Ahad) dan kami sedih di atas kejadian ini,” katanya.

Tiada ulasan: