Rabu, 24 Ogos 2011

Polis tahan 'Tengku Razali'



KUALA LUMPUR – Taktik licik seorang lelaki yang berpakaian kemas untuk menyamar sebagai peguam Istana Negara selain memakai 15 tangkal untuk ‘menundukkan’ mangsa dapat memperdaya 45 individu melibatkan kerugian RM200,000 sejak awal tahun ini.

Lelaki berusia 28 tahun dari Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor itu dikatakan bermulut manis dan pandai membuatkan mangsa terpedaya dengan kata-katanya. Untuk itu, suspek sering menggunakan gelaran ‘Tengku Razali’ atau ‘Tengku Shahrizwan’.

Bagaimanapun, suspek yang mendakwa keturunan kerabat diraja itu akhirnya diberkas di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 2 petang, Khamis lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan dari seorang wanita berusia 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, peniaga itu mendakwa dia kerugian RM7,000 selepas barang kemas miliknya dilarikan suspek pada 12 Ogos lalu.

Katanya, kejadian berlaku apabila suspek mendatangi mangsa yang sedang berniaga di kedai makannya di Taman Wahyu, Jalan Ipoh di sini dan memperkenalkan diri sebagai kerabat diraja yang berkhidmat sebagai peguam Istana Negara sehari sebelum itu.

“Ketika itu, suspek menawarkan mangsa peluang untuk membekalkan makanan ke istana lalu dipersetujui mangsa. Keesokannya, dia datang semula dan membawa mangsa ke kediaman diraja itu dengan menaiki Proton Perdana sewa.

“Sebaik tiba di luar pintu istana, suspek memaklumkan mangsa beberapa peraturan sebelum masuk seperti tidak boleh memakai barang kemas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.- Kosmo

Tiada ulasan: