Rabu, 24 Ogos 2011

Untung suku kedua AirAsia RM145 juta


KUALA LUMPUR - AirAsia Bhd. (AirAsia) merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM145 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2011, peningkatan sebanyak 0.6 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, prestasi tersebut adalah baik memandangkan suasana mencabar iaitu harga bahan bakar yang tidak menentu, peningkatan kos serta ketidaktentuan ekonomi global.

''Suku kedua secara tradisionalnya merupakan salah satu suku yang lemah, walaupun suasana mencabar bagi industri namun kami mampu mengharunginya.

''Kos telah meningkat, tetapi perolehan kami tumbuh, baki tunai AirAsia adalah sihat iaitu sebanyak RM1.9 bilion.

''AirAsia berada pada kedudukan terbaik dalam mencapai tujuan untuk tahun ini, membina asas yang kukuh untuk terus berkembang dalam beberapa bulan dan tahun akan datang. AirAsia memanfaatkan pelaburan tambahan,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Fernandes, strategi syarikat 'muatan aktif, hasil pasif' membayar dividen yang tinggi dengan tambang rendah menarik lebih ramai penumpang dan menyumbang kepada pengambilan lebih tinggi tambahan seperti beg besar, pilihan tempat duduk, kargo dan kurier.

''Kami sering mengekalkan berbanding menaikan tambang bagi meningkatkan hasil dan dengan memberikan tambang murah akan menarik minat penumpang dan melonjakkan perolehan melalui perkhidmatan tambahan,'' jelasnya.

Fernandes berkata, tambang AirAsia yang murah membolehkan syarikat mencatatkan faktor muatan tinggi sebanyak 81 peratus.

Sementara itu, pendapatan tambahan telah memberikan aliran perolehan untuk syarikat penerbangan tambang murah itu.

Bagi suku kedua, AirAsia mencatatkan perolehan sebanyak RM1.08 bilion.- Utusan

Tiada ulasan: