Ismail Sabri juga menganggap pemimpin PAS Mahfuz Omar tidak mengikuti perkembangan semasa dunia.
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membidas tindakan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang cuba mempolitikkan isu kenaikan harga barangan kawalan.
Ismail Sabri juga menganggap pemimpin pembangkang itu tidak mengikuti perkembangan semasa dunia kerana mendakwa kenaikan harga barang berpunca daripada kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) menguruskan ekonomi negara.
“Kalau ikut cakap dia (Mahfuz) seluruh dunia lah gagal macam tu, sebab seluruh dunia ketika ini mengalami kenaikan harga barang…ianya satu fenomena global. Cuba suruh dia sebut negara mana yang turun harga barang,” katanya pada sidang media, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Mahfuz yang semalam mendakwa kenaikan harga barang kawalan sejak kebelakangan ini berpunca daripada kegagalan pengurusan ekonomi dan kewangan negara oleh kerajaan BN.
Ismail Sabri berkata kerajaan pusat juga tidak pernah menghalang kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang untuk menurunkan harga barangan di negeri masing-masing jika benar dakwaan Mahfuz bahawa BN punca kenaikan harga barang.
“Suruhlah negeri pembangkang buat, turunkan harga, dia kena supportla penjual nasi kerabu, nasi dagang, mahu bagi duit ke atau subsidi, kita tak sekat tapi akhirnya dia tak akan buat apa-apa…cakap lebih mudah dari melakukan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan harga barangan kawalan sekarang, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak pernah menafikan perkara itu, namun pada masa yang sama kerajaan berusaha mengurangkan kesannya ke atas rakyat.
“Kalau di negara lain, kerajaannya hanya akan cakap, ‘leave it to the market’, tapi kita di sini melakukan pelbagai usaha bagi mengurangkan kos hidup kesan kenaikan harga barang global,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau memberi contoh pengenalan skim harga barang kawalan sempena perayaan dan Kedai 1Malaysia serta Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi menangani kos hidup rakyat yang kini dilaksana kerajaan BN.
Ditanya mengenai penguatkuasaan skim kawalan harga barangan terkawal sempena Aidilfitri, beliau berkata ia dikuatkuasakan bermula hari ini dan seramai 3,000 pegawai penguatkuasa akan digerakkan bagi tempoh 14 hari bagi pemantauan, dengan dibantu 50,000 rakan pengguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan