Isnin, 7 Mac 2011

PRK Kerdau: Sokongan BN meningkat, PAS statik

BN turut menjarakkan diri dari lawan tradisinya itu apabila majoriti meningkat sebanyak 1,111 undi.

ANALYSIS


PETALING JAYA: Seperti yang dijangka oleh rata-rata pemerhati politik tanah air, Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah besar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau (N28), Pahang yang berlangsung semalam.

Dalam pertarungan satu lawan satu, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad telah menang bergaya dengan majoriti 2,724 apabila meraih 5,060 undi berbanding lawannya dari PAS, Hassanuddin Salim yang memperolehi 2,336 undi.

Dalam saingan itu, BN turut menjarakkan diri dari lawan tradisinya itu di Dun terbabit apabila majoriti meningkat sebanyak 1,111 daripada 1,615 majoriti yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Selain majoriti yang bertambah 1,111, jumlah undian yang diterima BNnjuga turut mengalami peningkatan di hampir kesemua daerah mengundi majoriti pengundi Melayu.

Undi yang diterima oleh BN telah meningkat sebanyak 925 undi dalam PRK kali ini daripada sebelumnya, sebanyak 4,135 yang diperolehi oleh Zaharuddin Abu Kassim dalam PRU tahun 2008 itu.

Bagaimanapun, kembalinya sokongan pengundi atas pagar Melayu dalam beberapa siri PRK akhir-akhir ini kepada BN belum boleh ditakrifkan semata-mata sebagai penerimaan terhadap dasar kerajaan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa faktor lain yang lebih konsisten terhadap apa yang dianggap sebagai kemaraan semula BN ialah kejayaan mendominasi penyampaian maklumat apa yang ingin disampaikan kepada masyarakat, khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar.

Sokongan pengundi terhadap PAS pula boleh dianggap sebagai berada pada paras statik di Dun ini apabila tidak menunjukan jurang perbezaan yang besar berbanding undian yang diterimanya dalam PRU lalu.

Sokongan terhadap PAS sampai ke tahap ‘tepu’


Seorang penyokong PAS yang ditemui menganggap keputusan ini menggambarkan sokongan terhadap PAS di Dun Kerdau mungkin telah sampai ke tahap ‘tepu’ dan aktivis PAS perlu bertindak lebih agresif di peringkat generasi baru yang sedang bertunas.

Satu perkara yang mungkin sedikit melegakan PAS, walaupun tewas, undian yang diperolehi oleh PAS dalam PRK kali ini tidak mengalami kemerosotan yang besar iaitu hanya perbezaan 184 undi berbanding undi yang diraihnya menerusi calon yang sama dalam PRU-12 lalu sebanyak 2,520 undi.

Bagaimanapun, jika kelaziman setiap PRK yang dianggap sebagai eksperimentasi oleh parti-parti politik untuk menilai sokongan terhadap mereka sebelum berhadapan PRU akan datang diambil kira, ianya memberikan alasan yang cukup untuk PAS dan parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR) berasa cemas.

Sokongan terhadap PAS di kalangan pengundi Melayu atas pagar semenjak akhir-akhir ini dikatakan semakin hambar apabila parti itu tewas dalam beberapa siri PRK terakhir yang membabitkan peratusan pengundi Melayu yang besar.

Daripada 8,999 pengundi berdaftar Dun Kerdau, pengundi Melayu merupakan kelompok terbesar iaitu 88.79 peratus dan hampir 30 peratus dari jumlah tersebut merupakan penduduk Tanah Rancangan Felda yang jelas masih sukar dipikat oleh PR mahupun PAS.

Sementara itu, pengundi di kalangan kaum Cina yang dianggap oleh sesetengah pemerhati politik mulai mendekati PAS pula sekadar mewakili 5.05 peratus di Dun tersebut dan hampir separuh darinya berpusat di daerah mengundi Kerdau sendiri.

Tiada ulasan: