KUALA LUMPUR — Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) memulakan kempen meminta pelajar-pelajar yang dibekalkan novel kontroversi Interlok, yang jumlahnya dianggarkan 180,000 orang di Zon 2, agar memulangkan kepada pengetua masing-masing sebagai tanda “protes.”
Kempen itu dimulakan hari ini, sehari selepas kerajaan bersetuju dengan dapatan Pane Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.
Pengerusinya Datuk Thasleem Mohamad Ibrahim Al-Haj berkata, langkah itu diambil sebagai “protes” kerana Kementerian Pelajaran masih berpegang teguh mahu mengekalkan Interlok sebagai buku teks sastera tingkatan lima sekolah.
“Kempen ini dimulakan esok (hari ini)... langkah susulan kami, kami tetap mahukan novel ini ditarik balik daripada digunakan sebagai bahan buku teks sastera.
“Kami masih berpendirian bahawa novel ini tidak sesuai digunakan sebagai buku teks di sekolah, kami tidak berubah dalam pendirian kami . . . kami sudah memaklumkan ahli-ahli dalam NGO ini supaya memulakan tindakan ini mulai esok (hari ini),” kata Thasleem Mohamad ketika ditemui selepas mesyuarat NIAT di sini malam tadi.
“Pelajar sebagai golongan kanak-kanak ada hak untuk menolak bahan-bahan bacaan yang bertentangan dengan nilai dan kepercayaan mereka, kami mendapati kandungan novel ini bertentangan dengan nilai-nilai dan kepercayaan kita sebagai masyarakat Malaysia. Buku ini akan memusnahkan integrasi sesama bangsa dan 1 Malaysia,” kata beliau lagi.
“Saya tidak perlu membaca sesuatu yang bertentangan dengan nilai saya,” kata Thasleem Mohamad.
Sebelum ini, NIAT menyifatkan langkah Putrajaya menjadikan novel Interlok sebagai buku teks sastera tingkatan lima sebagai “menggadai” masa depan pelajar.
NIAT mendakwa terdapat banyak elemen dalam Interlok, novel tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain boleh menyumbang kepada pergaduhan dan perpecahan kaum.
Oleh itu, NIAT meminta Kementerian Pelajaran menarik segera penggunaan novel Interlok yang digunakan di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan. Sekitar 180,000 murid dari zon tersebut menggunakan novel itu.
Kata Thasleem Mohamad, sudah ada kes di mana murid sudah memulangkan novel tersebut kepada sekolah.
“Memang sudah ada kejadian di Kuala Kubu Baru, jadi kami yakin ia akan diperluaskan di sekolah-sekolah lain di Zon 2 melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.
Muhyiddin berkata panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan “tali” dipinda kepada “taali.”
“Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.
Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.
Muhyiddin menambah daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh perkara dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan “errata” di dalam novel terbabit bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India.
Selepas kenyataan Muhyiddin semalam, tiga wakil kaum India dalam panel bebas novel Interlok mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Timbalan Perdana Menteri ada memberi jaminan kelmarin bahawa “kesemua 105 pindaan” termasuk kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara menyentuh sensitiviti kaum India akan dilaksanakan.
Kesemua pindaan itu diperakukan oleh panel bebas secara konsensus pada 4 Mac lalu.
“Pindaan itu akan dilakukan dalam tiga bentuk iaitu gugur atau ganti frasa atau perkataan yang salah atau silap; errata iaitu senarai pembetulan fakta dan kesilapan suntingan; dan glosari sedia ada ditambah bagi memperjelaskan beberapa huraian dan konsep,” kata kenyataan mereka yang disiarkan menerusi blog salah seorang wakil berkenaan, Uthaya Sankar SB. Dua wakil yang lain ialah Dr N. S. Rajendran dan G. Krishnabahawan.
Wakil kaum India dalam panel itu akan mengadakan sidang media di ibu negara pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan