Isnin, 7 Mac 2011

Kaum India Bekerja Di Estet ,Saranan Presiden MIC Tidak Relevan - Muthiah

TVS NEWS


SHAH ALAM: Adun Bukit Melawati, Muthiah a/l Maria Pillay membidas kenyataan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang meminta kaum India kembali bekerja di estet milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika mereka gagal menyesuaikan diri di bandar.

Menurut Muthiah, beliau tidak menyokong tindakan ini kerana gaji yang diberikan sekadar RM 700 sedangkan gaji minima untuk kawasan luar bandar sepatutnya RM 1,500 berikutan kenaikan harga dan kos hidup yang semakin tinggi.

"Dia kata masuk semula ke kawasan luar bandar tetapi kemudahan masih tidak cukup. Jangan kerana baru nampak dua tiga estet milik GLC yang ok dan berkata boleh. Menteri atau timbalan menteri sepatutnya menekankan untuk memberikan perkhidmatan kepada semua orang dalam semua estet. Boleh dia beritahu berapa estet GLC yang ada? " ujar Muthiah.

Beliau menambah, tidak menjadi masalah kepada mana-mana pihak untuk bekerja asalkan gaji yang diberikan setimpal dan segala kemudahan asas yang diperlukan dapat disediakan dengan baik.

"Kalau mereka prihatin dengan kebajikan pekerja, tidak kisah untuk bekerja dimana-mana. Tetapi bukan hanya cakap mulut sahaja. Sudah berapa lama mereka berkata begitu. Dulu mereka kata keluar dari estet tidak mengapa, sekarang mereka kata masuk balik estet tapi keadaan mesti lebih baik," katanya.

Selain itu, Muthiah menggesa kerajaan agar gaji minima RM 2,500 diberikan kepada penduduk di kawasan bandar dan RM 1,500 untuk kawasan luar bandar memandangkan peningkatan kos hidup serta kenaikan harga barang kini yang ternyata membebankan pengguna.

"Sekarang harga barang tinggi. Apabila keluar melibatkan penggunaan petrol. Harga barangan makanan turut tinggi. Kalau hidup di kawasan bandar, mereka harus mendapat RM 2,500 baru boleh hidup. Mereka hanya boleh mendapat makanan atau vitamin yang baik, tetapi bukan yang terbaik," katanya.

G. Palanivel berkata demikian memandangkan taraf kehidupan pekerja ladang kini semakin baik berikutan keputusan kerajaan menaikan kadar upah minimum pekerja ladang kepada sekurang-kurangnya RM 700 sebulan.

Tiada ulasan: