Khamis, 17 Mac 2011

Interlok: TPM hanya minta senarai pendek elemen sensitif, kata panel bebas

KUALA LUMPUR — Seorang panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok hari ini menafikan dakwaan wakil kaum India pihaknya memutuskan untuk meminda perkara telah dipersetujui 4 Mac lalu susulan pertemuan dengan timbalan perdana menteri semalam.

Sebaliknya, ahli panel itu yang enggan namanya didedahkan berkata dalam pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam Timbalan Perdana Menteri itu meminta agar wakil kaum India menyenaraikanpendekkan elemen yang menyentuh sensitiviti kaum India.

Beliau juga menafikan ada satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran petang semalam.

“Semalam kami (panel bebas) dijemput untuk mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri yang mana beliau minta agar wakil kaum India senarai pendekkan perkataan-perkataan yang benar-benar menyentuh sensitiviti kaum India . . . perkataan yang paling penting dan sensitif, itu sahaja.

“Bukan kata kita menentang 100 pindaan yang dicadangkan itu, Timbalan Perdana Menteri hanya minta agar disenaraipendekkan agar pihak kementerian boleh mengambil tindakan segera manakala cadangan pindaan lain kita tangguhkan dulu... mana yang penting sahaja, jadi saya tidak faham kenapa perkara ini tiba-tiba menjadi kelam-kabut,” katanya.

Jelas ahli panel itu, wakil kaum India telah mencadangkan 100 pindaan dalam novel Interlok dan ia diterima panel bebas tersebut dan resolusi telah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran pada 4 Mac lalu.

“Ya, memang ada cadangan 100 pindaan tapi yang diminta Timbalan Perdana Menteri semalam adalah elemen-elemen yang benar-benar sensitif dan menyentuh sensitiviti kaum India.

“Bukan kita tentang yang 100 itu, saya nak beritahu dalam 100 cadangan itu sebahagian besarnya dalah kesalahan tanda baca, adakah salah letak noktah atau koma itu menyentuh sensitiviti kaum India? Apa yang diminta Timbalan Perdana Menteri adalah senarai pendekkan perkataan-perkataan yang sensitif untuk diambil tindakan segera manakala yang lain kita tangguhkan dulu,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan tiga wakil kaum India yang menarik diri dari panel bebas itu, ahli panel itu berkata badan ini memang sudah dibubarkan sebaik sahaja menyerahkan resolusi kepada Kementerian Pelajaran.

“Pada 4 Mac kita sudah serahkan resolusi kepada Kementerian Pelajaran, jadi secara automatik panel bebas ini sudah dibubarkan kerana kerja sudah selesai.

“Kita sudah serahkan enam resolusi kepada Kementerian Pelajaran untuk diambil tindakan selanjutnya, jadi saya tidak faham kenapa mereka kata nak tarik diri sedangkan penal bebas ini sudah tiada. Mengenai pertemuan semalam adalah pertemuan bekas panel bebas dengan Timbalan Perdana Menteri.” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat resolusi yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran.

Semalam tiga wakil kaum India menarik diri dari panel bebas itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian - keputusan yang mengejutkan ramai dan disifatkan sebagai tamparan dalam menyelesaikan isu itu - selepas pertemuan khas tergempar yang diadakan di bangunan Parlimen yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan “paria” sahaja.

Ketiga-tiga wakil kaum India itu adalah penulis Uthaya Sankar, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar 100 pindaan dibuat.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Ahli lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain penulis novel berkenaan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Kelmarin, Muhyiddin berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Tiada ulasan: