KUALA LUMPUR — Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) menyifatkan langkah Putrajaya menjadikan novel Interlok sebagai buku teks sastera Tingkatan 5 sebagai “menggadai” masa depan pelajar.
Pengerusinya Datuk Thasleem Mohamad Ibrahim Al-Haj berkata, terdapat banyak elemen dalam novel tulisan Karyawan Negara Datuk Abdullah Hussain boleh menyumbang kepada pergaduhan dan perpecahan kaum.
“Novel Interlok ini tidak sesuai digunakan di peringkat sekolah kerana banyak elemen yang boleh menyebabkan pergaduhan, kalau untuk dijual sebagai novel ini tiada masalah.
“Sebagai contoh dalam novel ini ada kata orang Melayu sebagai bangsa pemalas, orang Cina jual anak dan orang India sebagai paria... bagaimana nanti kalau pelajar-pelajar ini gunakannya untuk ejek kawan-kawan mereka?
“Pelajar Tingkatan Lima ini masih belum matang, mereka tak boleh fikir macam mana orang dewasa fikir, kalau bagi saya yang sudah baca novel ini memang tiada masalah tapi kalau digunakan di peringkat sekolah itu yang menjadi masalah,” katanya pada sidang media.
Justeru beliau meminta Kementerian Pelajaran menarik segera penggunaan novel Interlok yang digunakan di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Tarik balik segera, kita tidak mahu sebab novel ini perkara lain pula akan berlaku.
“Jadi saya minta Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan bijak dengan menarik balik novel ini di peringkat sekolah,” katanya.
Selain itu, menurut Thasleem, novel Interlok perlu ditarik balik kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan agama lain yang menolak penghinaan kepada sesuatu kaum.
“Ini bukan soal orang India sahaja, tapi orang Melayu dan Cina juga... novel ini banyak menyentuh soal adat resam dan menghina kaum-kaum ini juga.
“Kalau kita lihat dalam novel ini ia menyentuh soal semua kaum dan ada elemen yang menghina dan ia tidak membawa kepada perpaduan... sebab itu ia perlu ditarik balik,” katanya.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontroversii kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.
Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.
Bagaimanapun Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) mempertahankan novel Interlok sambil menyifatkan tiada sebarang unsur yang menghina mana-mana kaum dalam novel yang sudah berusia 40 tahun itu.
Ditanya mengenai pendirian Kementerian Pelajaran yang mahu mengekalkan novel Interlok sebagai buku teks, Thasleem bagaimanapun meminta Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri membaca dan mengkaji semula novel tersebut yang mempunyai lebih banyak unsur negatif dari positif.
“Saya tidak salahkan beliau (Muhyiddin), sebab saya tahu 95 peratus orang yang baca novel ini tak faham maksud sebenarnya.
“Jadi kita minta supaya beliau baca semula buku ini, kita bantah sebab ia tidak sesuai dan banyak elemen negatif tapi kalau kerajaan boleh pinda semua elemen ini kita akan pertimbangkan tapi saya rasa ia tidak mungkin berlaku,” katanya.
Semalam Muhyiddin berkata novel Interlok akan tetap digunakan sebagai buku teks sastera tingkatan lima.
Tambah, Thasleem, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat untuk menjelaskan maksud sebenar novel Interlok dan mengapa ia perlu ditarik balik.
“Saya telah menerima jemputan dari Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk memberikan taklimat mengenai perkara ini pada 21 Mac ini.
“Saya juga akan menghantar surat rasmi untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga,” katanya.
Kementerian Pelajaran sebelum ini telah membentuk satu panel bebas untuk mengkaji novel Interlok dan hasil cadangan pindaan telah dikemukakan pada 4 Mac lalu untuk tindakan susulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan