KUALA LUMPUR — Novel Interlok yang kontroversial masih “belum cukup murni” dan Putrajaya terus digesa supaya menggugurkan sama sekali karya itu daripada digunakan di sekolah, demikian diberitahu pada forum anjuran MIC hari ini.
Sementara sebuah badan penulis berpendapat novel berkenaan tidak dimurnikan secara “keseluruhan” kerana bahagian-bahagian sensitif melibatkan kaum lain, selain masyarakat India, tidak mengalami sebarang perubahan.
Sedangkan peserta-peserta forum, sekitar 150 orang, rata-rata berpendapat bahawa novel tersebut wajar ditarik balik daripada digunakan sebagai buku teks sastera tingkatan lima di Zon 2 melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pendirian ini dibuat pada forum yang diadakan sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan rumusan pindaan yang dikemukakan oleh panel bebas di Dewan Rakyat semalam.
Salah seorang wakil kaum India dalam panel bebas itu, Uthaya Sankar SB berkata, pendirian wakil kaum India sejak dilantik ke dalam panel tersebut adalah tetap dan dan tidak berubah iaitu jika segala pindaan yang diperakukan tidak dilakukan sepenuhnya, maka buku itu perlu dikeluarkan daripada dijadikan teks Komsas.
Katanya, perkara yang sama ditekankan oleh Presiden MIC Datuk G Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S. Subramaniam dalam pertemuan dengan Muhyiddin kelmarin.
“Malah, sehingga kini, pendirian wakil kaum India adalah sama. Malangnya, seperti diketahui umum, pada 16 Mac 2011, pihak tertentu sudah bersetuju untuk menarik balik senarai yang mereka kemukakan dan ada kaitan dengan sensitiviti kaum Melayu dan kaum Cina.
“Maka, wakil kaum India tidak dapat bertegas mempertahankan saranan pindaan itu kerana sudah ditarik balik oleh pihak yang mengemukakan cadangan itu,” katanya sambil menambah, beliau berpandangan bahawa selagi ia tidak murni selengkapnya, ia tidak wajar digunakan.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bilangan pindaan yang disyorkan berkaitan aspek-aspek sensitiviti masyarakat Melayu dan Cina.
“Saya tidak boleh cakap, itu kena tanya mereka (wakil mereka), kalau saya berkata, mungkin akan ada yang berkata saya berbohong,” kata beliau yang juga Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan.
“Kita tidak boleh perjuangkan kaum lain dalam panel bebas itu, ini sangat jelas,” katanya dengan merujuk kepada terma rujukan.
Uthaya turut menjelaskan mengenai terma rujukan yang digunakan panel bebas sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran.
“Begitu juga dengan cadangan pindaan yang diperakukan panel bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011,” katanya.
Seterusnya, Uthaya berkata, “jangan sentuh (penulis) Pak Lah, Abdullah tidak bersalah dan panel tiada prasangka terhadap Abdullah untuk menjelaskan bahawa wakil kaum India dan Kumpulan Sasterawan Kavyan dan saya sendiri sejak awal berjuang mempertahankan maruah Pak Lah.”
Novel itu dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akhir 1960-an.
“Malah, enam perkara pertama dalam senarai pindaan dikemukakan wakil kaum India adalah berkaitan Pak Lah,” katanya lagi.
Penulis bebas itu juga berkata, secara peribadi sebagai seorang sasterawan dan Presiden Kavyan melahirkan “rasa sedih” kerana “bahagian yang menyentuh sensitiviti saudara kaum Melayu dan kaum Cina tidak dapat dipinda” berikutan pihak tertentu memutuskan untuk menarik balik saranan pindaan yang mereka sendiri kemukakan atas alasan tersendiri.
“Mujurlah enam perkara berkaitan maruah dan martabat Pak Lah terkandung dalam senarai dikemukakan wakil kaum India; maka mampu dipertahankan oleh mereka bertiga hingga akhir,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC T. Mohan berkata, partinya telah melakukan yang terbaik bagi memastikan aspek yang menjadi perhatian masyarakat dipinda.
Bagaimanapun kata beliau, usaha menggesa kerajaan agar menggugurkan novel Interlok tidak akan berjaya hanya dengan tindakan MIC dan masyarakat India semata-mata.
“Novel ini melibatkan tiga kaum, kami berpandangan bahawa kaum Melayu dan Cina juga perlu tampil menyatakan bantahan mereka,” kata beliau sambil menambah, “tetapi orang Melayu dan Cina tidak berbuat demikian.
“Apa kita boleh buat? Saya juga ada membangkitkan perkara ini pada mesyuarat Pemuda BN dua hari lalu, saya bertanya kepada Ketua Pemuda MCA (Datuk Dr Wee Ka Siong), beliau berkata bagi mereka tiada masalah.
“Beliau sendiri berkata demikian, apa yang kami boleh lakukan? Jadi, sementara kita terima sentimen orang India yang mahu novel ini ditarik balik, kita juga memerlukan suara masyarakat Melayu dan Cina,” katanya.
Selain Uthaya, panel bebas itu dianggotai oleh Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.
Panel itu kini sudah dibubarkan.
Selain Mohan dan Uthaya, panel forum hari ini terdiri daripada Ahli Parlimen Subang dari PKR R. Sivarasa, Presiden Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) Datuk Thasleem Mohamad Ibrahim Al-Haj dan Krishnabahawan.
Kedua-dua Uthaya dan Krishnabahawan membentangkan kronologi isu ini termasuk hasil perbincangan panel pertama Januari lalu dan panel bebas bulan ini.
Forum hari ini diadakan susulan kenyataan dibuat Muhyiddin di Parlimen semalam.
Muhyddin berkata kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.
Muhyiddin berkata panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan “tali” dipinda kepada “taali”.
“Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.
“Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai,” katanya dipetik Bernama semalam.
Muhyiddin berkata daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh perkara dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan “errata” di dalam novel terbabit bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India.
Katanya, enam perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis sekali lagi telah bersetuju untuk meminda perkata “tuhan” kepada perkataan “dewa” dan menggugurkan frasa “orang berkulit hitam” daripada novel itu.
“Oleh yang demikian, kesemua ahli panel termasuk wakil masyarakat India telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang,” katanya.
Selain itu, katanya, kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan