Jumaat, 25 Jun 2010

Umno, LDP bercakaran kerana kerusi Merotai

BERNAMA



Wanita Umno Bahagian Kalabakan kecewa dengan kenyataan Ketua Penerangan Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Albert Kok, yang menganggap Umno tidak menghormati semangat setia kawan dalam Barisan Nasional apabila menuntut supaya kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Merotai diserahkan semula kepada Umno.

Ketuanya Datuk Hamisa Samat berkata semua pihak dalam BN termasuk LDP sepatutnya menghormati keputusan menuntut kembali kerusi itu yang dibuat oleh 191 cawangan Umno Bahagian Kalabakan dalam mesyuaratnya baru-baru ini.

"Sebagai pemimpin, kita mengambil kira apa juga cadangan, saranan dan usul yang dikemukakan pemimpin peringkat akar umbi. Jika kita mahu BN terus memerintah di Sabah, jangan terlalu pentingkan diri sendiri tanpa mendengar apa kemahuan dan kehendak rakyat akar umbi.

"Tidak wajar kami, sebagai parti majoriti, dilabel tidak mengamalkan setia kawan dalam BN. Kita sentiasa bekerjasama dengan mana-mana parti dalam komponen BN dan kenyataan Albert ini akan mengeruhkan keadaan jika ada pihak yang mengambil kesempatan," katanya.

Kerusi Merotai, yang mempunyai ramai pengundi Bumiputera, kini diwakili oleh Pang Yung Ming daripada LDP, satu daripada parti komponen BN.

Hamisa berkata Umno sentiasa memberi kerjasama dan menyokong penuh calon BN daripada LDP di kawasan Merotai dalam dua pilihan raya yang lalu dengan membantu
dalam kempen sehingga membawa kemenangan.

Katanya atas dasar setiakawan, Umno tidak membantah kerusi berkenaan diserahkan kepada LDP sejak dua penggal namun senario politik kini di Kalabakan sudah berubah dan sukar dijangka.

"Apa yang menjadi kegusaran kami adalah pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, ahli-ahli Umno di Merotai tidak dapat menjanjikan (kemenangan) sekiranya pengundi tidak memihak kepada calon bukan dari Umno di situ," katanya.


Tiada ulasan: