Rabu, 2 Jun 2010

Majlis Peguam gesa UKM gugur tuduhan terhadap 4 pelajar



KUALA LUMPUR — Majlis Peguam menggesa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) supaya menggugurkan tuduhan terhadap empat pelajar jurusan sains politiknya yang didakwa mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

“Majlis Peguam mahu sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibentuk untuk mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti selari dengan perkembangan semasa dan memansuhkan peruntukan-peruntukan yang dilihat menghalang kebebasan demokratik pelajar.

“Sementara kajian semula itu dikendalikan, Majlis Peguam mahu UKM menggugurkan tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atas empat pelajar ini,” kata Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Empat pelajar berkenaan Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai mencabar tindakan menghadapkan mereka di Mahkamah UKM di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Hakim Aziah turut menetapkan 17 Jun ini bagi perbicaraan inter-parte antara plaintif dan UKM.

Ragunath berkata, penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti tidak berperlembagaan kerana ia bertentangan dengan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Ia bukan sahaja tidak demokratik, malah larangan ke atas pelajar-pelajar terbabit menggunakan perwakilan perundangan juga tidak boleh diterima, lebih-lebih dalam keadaan kemungkinan mereka boleh berhadapan dengan pelanti dan sebarang akibat daripadanya.

Bagaimanapun kata beliau, pensyarah-pensyarah pula dibenarkan diwakili oleh peguam di bawah undang-undang tersebut.

Beliau menambah, Majlis Peguam melihat Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti tidak konsisten dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, di mana ia menghalang hak pelajar untuk menyuarakan pandangan, berhimpun dengan aman dan untuk menubuhkan persatuan dan tidak efektif.

“Untuk melarang pelajar-pelajar Malaysia dari mengambil bahagian aktif dalam politik ketika pengajian tinggi adalah tidak adil dan tidak logik.

“Kewujudan banyak peruntukan akta ini yang tidak adil telah menafikan pelajar-pelajar universiti peluang untuk mereka menyertai proses demokrasi dengan sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, UKM tidak meneruskan perbicaraan terhadap empat pelajar terbabit sebagaimana dijadualkan hari ini selepas menerima surat perintah mahkamah yang mengeluarkan injunksi semalam.

Ia diserahkan kepada pengurusan UKM pagi tadi.

Surat perintah tersebut diserahkan oleh keempat-empat pelajar tersebut selepas berjaya mendapatkan kelulusan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang proses perbicaraan disiplin oleh Mahkamah UKM.

Perintah itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Aziah Ali selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak pemohonan tersebut kelmarin.

Keputusan itu sekali gus menghalang Mahkamah UKM menjalankan perbicaraan terhadap empat pelajar berkenaan yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, jurucakap UKM enggan memberikan sebarang ulasan mengenai tindakan keempat-empat pelajarnya yang membawa perkara itu ke mahkamah.

“Minta maaf banyak-banyak buat masa ini kami tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai perkara ini,” katanya.

Menurut peguam pelajar berkenaan Ashok Kandiah, Mahkamah UKM tidak boleh diadakan kerana kerana pihaknya telah mendapat perintah mahkamah untuk menghalang perbicaraan tersebut.

“Hari ini saya telah mengarahkan Hilman untuk hadir di Mahkamah UKM dan menyerahkan perintah injunksi kepada pihak Mahkamah UKM.

“Jadi dengan surat perintah tersebut pihak Mahkamah UKM tidak boleh mengadakan sebarang perbicaraan terhadap keempat-empat pelajar ini sehingga 17 Jun ini bagi perbicaraan inter-parte,” katanya.

Mereka berempat ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah pada 22 April lalu.

Turut ditahan bersama mereka ialah tiga orang aktivis PKR yang turut menaiki kenderaan yang sama iaitu sebuah kereta dan sebuah van.

“Pagi ini saya telah menyerahkan surat perintah mahkamah kepada pihak Mahkamah UKM bagi menghalang perbicaraan diadakan.

“Jadi dengan surat perintah tersebut Mahkamah UKM tidak boleh mengadakan sebarang perbicaraan ke atas kami berempat,” kata Hilman.

Kesemua pelajar tersebut merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Mahasiswa Sains Politik UKM di mana Hilman merupakan pengerusinya.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon Barisan Nasional.

“Kami mencabar Seksyen 15 (5)(A) kerana mendapati ia bertentangan dengan Artikel 10 Perlembangaan Persekutuan.

“Melalui injunksi ini kami mahu tahu sama ada seksyen tersebut bertentangan ataupun tidak dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Hilman lagi.

Tiada ulasan: