Selasa, 1 Jun 2010

Injunksi: Shah Alam tolak, KL terima permohonan 4 pelajar UKM


KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menerima permohonan injunksi empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijadual untuk dibicarakan di mahkamah universiti itu esok dan lusa berhubung tuduhan parti politik semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Perintah itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Aziah Ali selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak pemohonan tersebut tengah hari tadi.

Empat pelajar yang memperoleh perintah injunksi (dari kiri) Woon, Hilman, Ismail, Azlin Shafina ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat petang ini.
Menurut peguam pelajar berkenaan Ashok Kandiah, dengan keputusan tersebut perbicaraan yang melibatkan keempat-empat pelajar jurusan sains politik itu tidak boleh diteruskan oleh Mahkamah UKM esok dan lusa.

“Hari ini kita telah mendapatkan kelulusan daripada Mahkamah Tinggi yang membenarkan perbicaraan pada 2 dan 3 Jun ini dihalang sehingga mahkamah selesai meneliti permohonan tersebut.

“Justeru kita harap Mahkamah UKM tidak meneruskan perbicaraan tersebut dan jika mereka tetap teruskan bermakna mereka melanggar perintah mahkamah,” katanya ketika ditemui dekat sini.

Keempat-empat pelajar berkenaan mencabar tindakan menghadapkan mereka di Mahkamah UKM di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Empat pelajar berkenaan ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai.

Ashok berkata mahkamah menetapkan 17 Jun ini sebagai perbicaraan “inter-parte” antara UKM dan plaintif.

“Pada 17 Jun mahkamah menetapkan untuk perbicaraan 'inter-parte' antara UKM dan juga plaintif.

“Dalam perbicaraan tersebut kedua-dua pihak akan membentang hujah masing-masing berkaitan Seksyen 15(5)(A) AUKU,” katanya.

Semalam keempat-empat pelajar tersebut telah memfailkan permohonan mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam tetapi ditolak pagi tadi.

Selepas permohonan itu ditolak mereka memfailkan di Mahkamah Tinggi di sini petang ini.

“Kami mencabar Seksyen 15 (5)(A) kerana mendapati ia bertentangan dengan Artikel 10 Perlembangaan Persekutuan.

“Melalui injunksi ini kami mahu tahu sama ada seksyen tersebut bertentangan ataupun tidak dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Hilman kepada The Malaysian Insider semalam.

Mereka berempat ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah pada 22 April lalu.

Turut ditahan bersama mereka ialah tiga orang aktivis PKR yang turut menaiki kenderaan yang sama iaitu sebuah kereta dan sebuah van.

Dalam penahanan itu, polis merampas beberapa bungkusan risalah kempen PKR dan juga cakera padat kempen.

Pada 23 April pula, sekitar pukul 10 malam, Hilman bersama-sama empat orang aktivis lain ditahan sekali lagi oleh polis dalam sekatan jalan raya.

Dalam penahanan ini polis hanya menjumpai sekeping vieo cakera padat (VCD) ceramah parti politik.

Bagaimanapun mereka mendakwa berada di Hulu Selangor untuk menjalankan penyelidikan akademik.

Hilman berkata atas nasihat peguam dia akan tetap menghadirkan diri ke Mahkamah UKM esok pagi kerana bimbang universiti tersebut tidak mengetahui akan kelulusan permohonan injuksi tersebut.

“Saya akan menghadirkan diri pada pagi esok dengan membawa surat peguam yang mengatakan bahawa perbicaraan tidak boleh diteruskan.

“Ini kerana kita mendapat kelulusan tersebut lambat jadi sudah pasti pihak universiti tidak tahu perkara in,” katanya.

Kesemua pelajar tersebut merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Mahasiswa Sains Politik UKM di mana Hilman merupakan pengerusinya.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon Barisan Nasional.

Tiada ulasan: