Rabu, 6 Januari 2010

Segera perjelas isu: Pak Lah

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Isu penggunaan kalimah Allah dalam Herald-The Catholic Weekly perlu diperjelaskan dan diterangkan kepada masyarakat termasuk bukan Islam dengan segera agar ia tidak menimbulkan sebarang ketegangan dan kekeliruan, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata, dalam mesyuarat IKIM yang dipengerusikan beliau kira-kira tiga jam semalam berpendirian isu itu perlu diberi penerangan dan penjelasan yang baik.

“Isu itu perlu difahami dengan baik. Mesti dijelaskan seterang-terangnya dengan fakta-faktanya,” katanya.

Beliau berkata, Ikim mempunyai pakar dan ilmuan yang bersedia dan mampu memberikan penjelasan dan penerangan yang baik mengenai isu tersebut.

Katanya, proses penerangan itu boleh diadakan dalam bentuk penghasilan artikel dan mengadakan pertemuan serta forum kepada pihak yang berminat.

“Jika ada bukan Islam yang mahu berjumpa mengenai isu ini, Ikim sedia berjumpa,” katanya.

Abdullah berkata, beliau bimbang jika isu itu tidak difahami dengan jelas ia boleh membawa kemudaratan seperti ketegangan dan perbalahan kaum.

Beliau juga berharap orang ramai dapat 'mengawal diri' agar tidak mencelarukan keadaan hingga membawa kepada tindakan tidak sepatutnya.

Tiada ulasan: