Ahad, 24 Januari 2010

Pesawat Terhempas: Juruterbang Maut, Penumpang Cedera

BERNAMA


KUCHING: Seorang juruterbang maut manakala seorang doktor pakar bedah dari Pusat Pakar Perubatan Normah di sini cedera apabila sebuah pesawat ringan persendirian yang dinaiki terhempas di kawasan hutan di Sungai Ladong Simunjan, Samarahan pagi tadi.

Ketua Polis Simunjan, Deputi Supritendan Choo Yin Kok berkata, juruterbang yang terbunuh, Stanley Tiong, 61, manakala Dr Ngu Siu Kong, 58, cedera apabila pesawat berkenaan terhempas di atas pokok di hutan tersebut.

"Kita terima panggilan daripada penduduk kampung berhampiran sekitar jam 9 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua pegawai dan 18 anggota polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemui Dr Ngu yang masih berada dalam pesawat berkenaan pada kira-kira jam 11 pagi tetapi tiba-tiba beliau terjatuh dari pesawat berkenaan setinggi 100 kaki, menyebabkan beliau mengalami kecederaan.

Katanya, selain unit udara polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut membantu usaha mencari dan menyelamat pada pagi tadi menggunakan helikopter Nuri.

Beliau tidak menyatakan bila pesawat tersebut berlepas dan tujuan penerbangan dilakukan bagaimanapun difahamkan pesawat itu dari Kuching ke Sibu.

Sementara itu, ambulan milik Pusat Perubatan Angkatan Tentera Pangkalan Udara Kuching yang membawa mayat mangsa dan doktor tersebut tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 1.40 petang ini.

Turut kelihatan ialah saudara-mara mangsa dan doktor berkenaan yang berlegar sekitar pintu hadapan Jabatan Kecemasan HUS dan Rumah Mayat HUS.

Selepas mendapat rawatan di HUS, Dr Ngu dibawa ke Pusat Pakar Perubatan Normah bagi mendapatkan rawatan selanjutnya dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Usaha media untuk mendapatkan komen mengenai kejadian tersebut gagal berikutan permintaan anggota keluarga doktor berkenaan untuk memberi peluang kepada doktor tersebut dirawat dan berehat.

Tiada ulasan: