Ahad, 3 Januari 2010

Ku Li tetap bersama Umno

Aidila Razak


Walaupun bersikap kritikal dan tidak bersetuju dengan banyak perkara dalam Umno, tetapi Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa itu tidak bermakna beliau akan meninggal parti itu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, semua itu 'belum cukup' untuk membuatnya 'menyeberang' ke parti lain.

"Ada perkara-perkara tertentu yang saya setuju, tetapi mungkin saya tidak bersetuju dengan banyak perkara lagi.

"Ia tidak bermakna yang saya tidak sepatutnya menjadi ahli Umno," katanya Tengku Razalegih.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, beliau menjelaskan mengapa pindaan perlembagaan Umno baru-baru ini tidak banyak dapat membebaskan Umno dari imej rasuah - yang mengakibatkan BN mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008.

Menurutnya lagi, sebarang perubahan yang berkesan dalam Umno - yang menjadi tunggak BN - hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahlinya dapat memisahkan diri mereka daripada politik naungan.

"Sikap dan cara pemikiran ahli-ahli Umno mesti berubah. Mereka tidak boleh bergantung kepada naungan sepanjang masa... dan mereka mesti membuang tabiat lama yang tidak baik," katanya.

Pindaan perlembagaanUmno itu menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti itu, dan ini membuka peluang kepada Tengku Razaleigh untuk bertanding sekali lagi jawatan presiden.

Namun begitu, ia tidak membawa banyak makna kepada bekas menteri kewangan itu yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan 1987.

"Ia tidak mencapai separuh pun daripada apa yang telah saya cadangkan, Saya mencadangkan supaya setiap ahli diberi hak untuk memilih pemimpin mereka melalui satu pemilihan yang adil," katanya.

Tiada ulasan: