BERNAMA
KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi akan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid terpilih di seluruh negeri bagi menyampaikan maklumat secara lebih tepat dan jelas mengenai pencegahan jenayah.
Beliau berkata, langkah itu diambil sempena pelancaran program polis dengan masyarakat mulai tahun ini.
"Saya sendiri akan menyampaikan khutbah di setiap masjid yang dipilih di seluruh negeri bagi menyampaikan maklumat mengenai jenayah dan cara-cara untuk mencegahnya secara lebih tepat dan berkesan," katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abdul Rahim melakar sejarah apabila menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Mukim Langgar di sini sempena Hari Polis pada 2007.
"Tugas ini bukanlah bermakna hendak mengambil alih tugas imam yang sedia bertanggungjawab dalam bidang itu, tetapi dengan berbuat demikian dapatlah saya menyampaikan dengan lebih jelas dan penuh penghayatan kerana kita sendiri berada dalam pasukan polis," katanya dan menurutnya, beliau akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Kelantan berhubung perkara itu.
Katanya, langkah itu mendapat persetujuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan