Sabtu, 2 Januari 2010

Indonesia tahan rakyat kita kes bawa syabu

BERNAMA


JAKARTA: Pihak berkuasa kastam Indonesia menahan seorang wanita rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Ngurah Rai, di Tuban, Bali petang semalam kerana disyaki membawa syabu.

Wanita berusia 26 tahun yang tiba di lapangan terbang itu seorang diri dengan hanya membawa beg tangan, ditahan selepas dapati berkelakuan mencurigakan pihak kastam dan polis.

Ketua Bahagian Tindakan dan Penyiasatan Pejabat Kastam Wilayah Bali Nusa Tenggara Barat (NTB) dan Nusa Tenggara Timur (NTT), Bagus Endro dipetik agensi berita Antara sebagai berkata petugas kastam yang memeriksa beg tangan wanita itu menemui tiga set peralatan dipercayai untuk menghisap dadah serta 0.36 gram syabu yang dibungkus dalam plastik.

Selepas pemeriksaan lanjut yang lebih menyeluruh oleh pegawai kastam wanita, pihak berkuasa menemui 10 pil eramin dan 0.62 gram syabu lagi pada wanita itu.

Wanita itu, seorang arkitek, dikatakan merancang tinggal di Bali 10 hari dan dijemput teman lelakinya yang berasal dari Jakarta, yang tiba di Bali lebih awal.

Bagus Endro, berkata ketika ditahan wanita itu kelihatan khayal, dipercayai kerana mengambil dadah sebelum berlepas ke Bali.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan semua barang yang dibawa wanita itu adalah untuk tujuan pesta meraikan tahun baru.

Wanita itu akan didakwa mengikut Fasal 111 Undang Undang No 35 tahun 2009 mengenai Narkotik, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara empat hingga 12 tahun serta denda minimum RM296,300 sehingga RM2.9 juta.

Tiada ulasan: