Abdul Rahim Sabri
Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mencadangkan enam garis panduan utama untuk diteliti berhubung isu penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam.
Katanya, garis panduan tersebut dicadangkan bagi "mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum".
Menulis Dr Mohd Asri, ini adalah beberapa cadangannya mengenai hal tersebut untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
"Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.
Enam garis panduan tersebut dicadangkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitannya.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini Dr Mohd Asri enggan mengulas lanjut berhubung tindakan mahkamah itu, sebalik mengusulkan supaya merujuk terus ke laman blognya.
Menulis dalam blognya Dr Mohd Asri berkata "bukan Muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam".
"Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat," tulisnya.
Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi "isu tersebut lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempatan, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas Islam".
Dr Mohd Asri berharap pembaca dapat membaca kenyataan beliau itu bersama dengan artikel yang ditulisnya dalamblognya bertajuk "Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah".
Beliau juga menegaskan dalam garis panduan itu bahawa "bukan Muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan".
"Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain," tulisnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan