Ahad, 24 Januari 2010

Beza Islam Melayu dengan Kristian Arab

Oleh Ali Bukhari Amir


Kedudukan Melayu menamakan Tuhan sebagai Allah s.w.t, Ar-Rahman, Ar-Raheem dan dengan 99 nama-nama Allah yang baik itu bukan kehendak mereka melainkan setelah Allah sendiri melalui al-Quran memberitahu mereka sedemikian. Melayu era Hindu - Buddha, tidak menamakan Tuhan sebagai Allah.

Ia berbeza dengan Arab Musyrikin, Arab Yahudi, dan Arab Kristian di Timur Tengah. Lidah mereka sejak Jahiliyah menyebut Tuhan sebagai Allah. Hal ini boleh dijumpai dalam mana-mana peristiwa yang merakamkan sumpah mereka dalam hal-hal tertentu.

"Demi Allah... wallahi," kata Abu Jahal, Abu Lahab dan sesiapa sahaja yang ingin bersumpah. Sumpah ini wujud ketika mereka di dalam Jahiliyyah.

Disebut nama Allah kerana berbangsa Arab. Ia tiada kaitan dengan agama. Tuhan adalah 'Ilah' menurut lidah Arab. Sementara Yahudi, iaitu saudara kandung bangsa Arab, memanggil Tuhan sebagai 'Ilu.' 'Ilah' dan 'Ilu' adalah Tuhan. Ini terjadi, kerana kedua-dua bangsa ini tergolong dalam bangsa Semitik, iaitu jurai keturunan Nabi Ibrahim a.s.

Melayu sebelum kehadiran Islam tidak memanggil Tuhan dengan nama Allah seperti hari ini. Sebab itu, dalam kes ini, tidak boleh kita samakan Islam Melayu dengan Kristian Arab. Bangsa Arab Kristian di Timur Tengah akan tetap menyebut Allah kerana mereka Arab. Ada beza antara Islam Melayu dan Kristian Arab. Inilah yang seharusnya diteliti semua pihak ketika membincangkan hal ini.

Soal bagaimana Kristian Melayu di Indonesia menyebut Jesus sebagai Allah ini perlu dikaji lebih lanjut kerana kita juga tidak memiliki sejumlah data lengkap dan fakta yang meyakinkan. Adakah pernah Arab Kristian yang menyebarkan risalah, dakyah Kristian di Nusantara ini dahulu?

Rasanya, Kristian Barat berkembang di Jawa, baik Sumatera dalam mazhab apa sahaja, baik Jehovah Witnesses, Katolik, Protestan - ia dikembangkan oleh sejumlah paderi-paderi berbangsa kulit putih - Jerman, Belanda, Portugis dan lain-lain bangsa Barat.

Entah bila mereka tukar nama Jesus, Yesus kepada Allah ini, kita sendiri tidak pasti. Tapi, hal ini memang berkembang pantas di sana. Atas tujuan apa perubahan nama ini dibuat, hal ini kurang pasti. Kenapa Kristian tidak menukar nama Jesus, Yesus kepada Om, Shiva, Vishnu, Buddha, itu pun kurang pasti. Ia perlu kajian lanjut.

Apabila kita tidak menemukan seberkas jawapan terhadap rasional pengubahan nama Yesus kepada Allah ini, maka terbit keraguan dalam kalangan Melayu. Dan, hal keraguan ini tidak boleh dipersalahkan. Keraguan itu berbunyi - bahawa perubahan nama Tuhan ini berlaku dengan niat untuk menyebarluaskan Kristian ini ke dalam umat Melayu.

Seterusnya, kita perlu tinjau hal keraguan umat Islam khasnya Melayu sebagai bangsa pemimpin terhadap usaha-usaha Kristian Missionaries. Mereka tidak boleh melupakan kisah Natrah dan Aishah Bukhari. Natrah misalnya, telah dianggap sebagai ebahagian daripada hidup mereka lantaran persamaan syahadah dan aqidah, biarpun Natrah berbangsa Belanda.

Maka, Kedudukan Belanda sebagai kuasa penjajah yang pernah menjajah Melaka dan Tanah Melayu suatu ketika dahulu, ternyata
tidak menyebabkan Melayu era 1950-an melihat Natrah sebagai penjajah. Malah, Natrah itu belahan jiwa mereka.

MUNSYI ABDULLAH 'PADERI MELAYU'?

Tentu saja hal-hal pengkristian Melayu berkembang daripada episod luka menjadi adegan membarah. Tidak boleh dipersalahkan Melayu 100 peratus apabila mereka tidak senang ke atas penukaran nama Jesus kepada Allah. Bukti-bukti memang ada. Sudah ada pertukaran agama dalam kalangan wanita-wanita Melayu, anak-anak muda khasnya gadis telah pun dilarikan entah ke mana dan akhirnya keluarga terputus hubungan.

"Abah, Aishah sudah Kristian, jangan cari Aishah lagi," begitu lafaz Aishah melalui telefon. Hati bapa mana yang tidak luruh? Pelarian ini mungkin juga dilakukan dengan helah. Maka, jenayah dalam hal ini terbelah kepada dua tafsiran. Jenayah atas penukaran agama atau jenayah melarikan orang? Kita tinggalkan persoalan di atas untuk sama-sama dijawab.

Politik negara memegang faham pengasingan kuasa antara Parlimen, Mahkamah dan Eksekutif. Barangkali umat Melayu masih boleh memikirkan lagi jalan-jalan untuk mengatasi hal ini. Mahkamah telah memberikan kuasa. Tapi, Melayu Islam masih ada dua kuasa lagi, iaitu kuasa Parlimen dan kuasa Eksekutif.

Ahli-ahli Parlimen Melayu Muslim tanpa mengira kedudukan mereka daripada parti mana, boleh menyuarakan hasrat mereka di Parlimen bagi membantah penukaran nama ini. Begitu juga, kuasa eksekutif iaitu kerajaan hari ini boleh mengenakan kuasanya melalui akta penerbitan agar Herald terus menggunakan kalimah Yesus, tapi bukan Allah.

Orang yang pertama menterjemahkan Bible daripada Inggeris ke bahasa Melayu ada Munsyi Abdullah. Tindakan beliau ini menyebabkan beliau digelar 'Paderi Abdullah' oleh orang-orang Melaka kerana tidak senang dengan sikapnya itu.

Zaman beliau, Belanda menguasai Melaka. Tidak diketahui adakah Melayu Kristian sudah menyebut nama Allah gara-gara terjemahan beliau. Semoga Herald Tribune siasat perkara ini.

Herald Tribune boleh mengkaji betapa wujudnya usaha mengkristiankan Kesultanan Melayu Johor. Banyak gereja yang dibangunkan di sekitar Jalan Abdul Rahman Andak. Teater muzikal Ibu Zain juga pernah meletakkan babak Ibu Zain diajak memeluk Kristian di sekolah missionaries.

Maka, sejak Munsyi Abdullah menterjemah Bible ke dalam Melayu pada zaman Belanda sehingga ke zaman Ibu Zain diajak memeluk Kristian ketika kerabat diraja menghuni di Mustika Embun, adakah nama Allah diguna di gereja? Herald Tribune perlu siasat hal ini. Jika gereja tidak menggunakannya, kenapa sekarang mesti diguna nama Allah.

Kalau mahu digunakan sekarang, maka ia atas arahan siapa? Adakah Herald Tribune ada jawapannya?

Tiada ulasan: